TAHNIAH: Shahidan (depan, lima kiri) dan Lee (enam kiri) menunjukkan tanda bagus bersama tetamu dan pemenang serta sebahagian peserta.
MIRI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mahu pertandingan memancing laut dalam diadakan secara ‘Tertutup Malaysia’ (Malaysia Close) dan ‘Tertutup Sarawak’ (Sarawak Close) bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini bersaing dalam acara tersebut.
Beliau juga mahu pihak berkaitan mengadakan memancing laut dalam antara jabatan-jabatan kerajaan bertujuan mengukuhkan kerjasama, persefahaman dan hubungan baik antara jabatan serta agensi kerajaan negeri dan pusat.
Daripada aspek keselamatan, beliau memberi jaminan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjaga keselamatan dan melindungi peserta dan bot-bot yang mengambil bahagian dalam pertandingan terbabit.
“Pertandingan meman-cing laut dalam di sini, saya minta diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri antara jabatan-jabatan kerajaan.
“Kalau boleh anjurkan empat atau enam kali dalam setahun. APMM akan memberi perlindungan apa juga aktiviti di laut sebab kita buat aktiviti dalam perairan negara bukan di luar negara, jadi tiada masalah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Laut Dalam Miri 2016 di sini, malam kelmarin.
Sukan memancing laut dalam di perairan negara di Miri kini menjadi sukan yang semakin popular di kalangan kaki pancing bukan sahaja dalam negara malah luar negara.
Ini diakui penyandang DUN Senadin yang juga Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin yang memberitahu, pada setiap pertandingan memancing laut dalam dianjurkan di Miri penyertaannya sentiasa mendapat sambutan peserta luar.
“Sejak dianjurkan kali pertama sembilan tahun lalu, kita hanya bermula dengan pemancing-pemancing dan ahli-ahli kelab pemancing tempatan sahaja. Namun, tahun-tahun berikutnya semakin mendapat tempat daripada pemancing luar negara menyebabkan kita menganjurkan pertandingan skala besar melibatkan antarabangsa,” katanya.
Justeru, Lee mahu per-tandingan dianjurkan bersama Kelab Pemancing Miri (KPM) dan APMM diadakan pada skala lebih besar tahun depan dengan menarik lebih banyak penyertaan peringkat antarabangsa.
“Saya berharap lebih banyak agensi kerajaan turut serta dalam penganjuran tahun depan selain melibatkan Kementerian Pelancongan, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Perikanan yang juga penganjur bersama pertandingan kali ini,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan peserta diberi kelonggaran menaiki bot APMM, jika bot-bot nelayan tempatan tidak mencukupi bagi menampung jumlah penyertaan yang ramai tahun depan.
Pada majlis sama, Lee turut menyaksikan pelancaran Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri Ke-10 dari 11 hingga 14 Mei 2017 yang disempurnakan oleh Shahidan.
Pelancaran pertandingan itu bagi membolehkan penganjur membuat persiapan awal dan mengadakan promosi lebih giat menarik lebih banyak penyertaan khususnya dari luar negara.
Sementara itu, Shahidan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dengan tempat pertama dirangkul Henry Wong yang mendaratkan ikan aji-aji atau amberjack seberat 19.68kg sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta sijil.
Tempat kedua Tan Kim Kuan (amberjack seberat 19.02kg) membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan ketiga Jong Cheng Lung (amberjack seberat 18.30kg) meraih hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil. Semua pemenang berasal dari Miri.
Seramai 52 pemancing seluruh negara serta dari luar seperti Brunei, China, Hong Kong dan Singapura mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Mereka berlepas ke laut dalam di perairan Miri pada Khamis lalu dan kembali semula ke daratan pagi Ahad.
Source: http://miri.my/2016/04/19/dijangka-lebih-ramai-bersaing-pada-pertandingan-memancing-tahun-depan/