Dewan serba guna KPTB terbesar di Miri

Projek RM550,000 bersaiz 100 kaki panjang dan 40 kaki lebar dijadual siap April 2017

// Oleh Steve Annuar //

KEMUDAHAN: Datuk Lee (mengendalikan jengkaut) bergambar bersama JKKK, RT,
Jiran Wanita  semasa simbolik perasmian majlis pecah tanah projek dewan
serbaguna KPTB semalam.

KEMUDAHAN: Datuk Lee (mengendalikan jengkaut) bergambar bersama JKKK, RT, Jiran Wanita semasa simbolik perasmian majlis pecah tanah projek dewan serbaguna KPTB semalam.

MIRI: Dewan serba guna Kampung Pujut Tanjung Batu (KPTB) bernilai lebih setengah juta adalah dewan kampung terbesar di Miri.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata, projek berharga RM550,000 itu bersaiz 100 kaki panjang dan 40 kaki lebar dijadual siap pada April tahun depan.

“Ini adalah dewan terluas untuk kampung di Miri. Kebanyakan dewan kampung bersaiz panjang 60 kaki,” jelas Lee menyempurnakan majlis pecah tanah projek pagi semalam.

Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, sejumlah RM600,000 diterima dari kerajaan pusat untuk menjayakan projek itu.

Beliau menambah, selain pusat aktiviti, penyediaan kemudahan sukan akan menjadikan dewan pusat sukan untuk penduduk.

“Sekarang penduduk mahu jalan ke dewan ini dibesarkan dan membuat parit bertutup untuk memudahkan kenderaan diparkir,” jelasnya.

Menurut Lee, dana tambahan berjumlah RM170,000 diperlukan untuk menaik taraf jalan dan parit sepanjang laluan menuju dewan.

“Dana ada sekarang tidak mencukupi. Kita akan cuba bangunkan jalan dan parit ini mengikut bajet yang ada tahun depan. Kita juga perlu dana untuk menyambung air dan elektrik ke dewan ini,” jelas Lee.

Impian memiliki dewan telah lama disuarakan oleh penduduk yang bergantung kepada dewan Masjid An Nur untuk menganjurkan aktiviti.

Gelanggang terletak di hadapan masjid juga dalam keadaan uzur serta rosak kerana lakumusnah.

Pemohonan mendapatkan tapak untuk dewan diluluskan pada 2009 setelah lima tahun menanti.

Pada tahun berikutnya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) memohon dana dan menerima berita gembira dua tahun berikutnya.

Pada November 2012, pejabat Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM600,000 untuk projek dewan kampung.

Kerja pembinaan bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilaksanakan pada 30 November lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

Hadir sama ialah Ketua Kaum, Usman Sulaiman dan Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Ishak Baijuri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/23/dewan-serba-guna-kptb-terbesar-di-miri/