Datuk Hii tunai janji tampung pembedahan Ashraf Ikhwan

MIRI: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau, Datuk Hii King Chiong menunaikan janji beliau dengan menyumbang derma sebanyak RM12,500 untuk menampung kos pembedahan Ashraf Ikhwan Haikal Iswandy.

Sumbangan disampai sendiri oleh Hii ketika menemui murid tahun tiga itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayed Othman di sini pagi semalam.

Ashraf sekarang bergantung kepada kerusi roda untuk membolehkannya bergerak dan bakal menjalani pembedahan implan tulang belakang pada 7 April.

Hii menemui Ashraf pada bulan lalu dan berjanji dengan ayahnya, Iswandy Japar untuk tampil membantu anaknya.

“Saya telah tunaikan janji saya dan saya berharap lebih ramai lagi termasuk badan korporat akan tampil membantu Ashraf,” jelas Hii.

Hii berkata, sumbangan awam berterusan membolehkan Ashraf menjalani lima lagi pembedahan dan pembedahan pertama melibatkan kos RM12,500.

“Saya sedih melihat keadaan Ashraf kerana dia menunjukkan minat tinggi untuk belajar. Saya berharap pembedahan akan berjalan dengan lancar, “ ujar Hii lagi.

Guru Besar, Juhaili Junaidi dan Iswandy Japar berterima atas keprihatinan Hii membantu meringankan kos pembedahan yang diperlukan oleh Ashraf.

“Saya amat berterima kasih kepada Hii dan UPP atas komitmen mereka membantu anak saya Ashraf,” jelas Iswandy.

Dalam pada itu, Pengerusi PIBG, Rushdi Abdul Rani turut berterima kasih kepada Hii, UPP dan Pusat Khidmat Majulah Miri untuk projek pembinaan dua tandas baharu sekolah itu.

Hadir sama semalam ialah Setiausaha Politik, Suzanne Lee, Ketua PBB Pujut, Abu Bakar Amit dan Ketua PBB ranting Kampung Wireless, Sarbeni Japar.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/20/datuk-hii-tunai-janji-tampung-pembedahan-ashraf-ikhwan/