DAP Sibu melancarkan tabung derma untuk tujuan mengadakan kempen PRN

SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sibu telah melancarkan tabung derma untuk tujuan kempen Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) di sini, semalam.

Pada sidang media diadakan di pejabatnya di sini selepas pelancaran tabung tersebut, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling berharap orang ramai boleh membuat sumbangan mereka dengan ikhlas.

Orang ramai, katanya, boleh membuat sumbangan terus ke akaun DAP Sibu atau datang ke pejabat DAP Sibu yang terletak di Rejang Park dan resit rasmi akan dikeluarkan.

Menurutnya, tabung derma juga akan diletakkan di pusat operasi DAP tidak lama lagi.

Sementara itu, Ling memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan forum PRN11 bertempat di restoran Ming Mei Shi pada jam 7.30 malam ini (16 April).

Jelasnya, Penasihat Kebangsaan DAP Lim Kit Siang akan menjadi penceramah utama sementara pemimpin DAP tempatan yang lain juga akan turut menyampaikan ceramah mereka.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri forum tersebut.

Pagi esok (April 17), Ling berkata, Lim akan melancarkan pusat operasi DAP Sibu pada jam 9 pagi sebelum meneruskan lawatannya ke DUN Meradong di Bintangor dan DUN Repok di Sarikei bagi melancarkan pusat operasi DAP di sana.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sarawak David Wong berkata, Lim tiba di Lapangan Terbang Miri pada pagi semalam bersama-sama dengan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke.

Bagaimanapun, beliau berkata, Loke dilarang masuk ke negeri ini manakala Lim dibenar memasuki negeri ini apabila kedua-duanya dalam dalam penerbangan sama dari Kuala Lumpur.

Hadir sama pada pelancaran tersebut ialah penyandang kerusi DUN Dudong Yap Hoi Liong, calon DAP kerusi DUN Bukit Assek Irene Chang, calon DAP kerusi DUN Katibas Paren Nyawi serta ahli-ahli parti yang lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/16/dap-sibu-melancarkan-tabung-derma-untuk-tujuan-mengadakan-kempen-prn/