DAP anggap permohonan maaf SUPP kepada rakyat tidak ikhlas

MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyifatkan lafaz maaf Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kepada rakyat negeri ini sebagai tidak ikhlas.

Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling Sie Kiong berkata, memohon maaf atas kesilapan besar tidak akan mengubah apa yang telah berlaku kepada Sarawak sekarang.

Tanpa sebarang tindakan untuk memperbaikinya, lafaz maaf itu cuma sekadar agenda politik SUPP mendapat perhatian rakyat.

“Maaf bukan penawar. Ini respons saya terhadap lafaz maaf yang tidak ikhlas ini. Hipokrit politik,” katanya mengulas permohonan maaf terbuka parti itu.

Kelmarin, SUPP memohon maaf kepada seluruh rakyat Sarawak atas tindakan pemimpin parti itu yang tidak tampil membantah usul terhadap pindaan bagi Perkara 1 (12) Perlembagaan Persekutuan yang telah menurunkan status Sarawak sebagai sebuah negara kepada negeri dalam Malaysia.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting dalam kenyataan akhbarnya berkata ketika pindaan itu diperdebatkan di Dewan Rakyat pada 12 dan 13 Julai 1976, beliau mengakui tiada seorang pun daripada tujuh pemimpin SUPP di Dewan Rakyat ketika itu membantah usul untuk meminda Perkara 1(12) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Menurut Alan, sekiranya SUPP ikhlas memohon maaf kepada rakyat Sarawak, SUPP harus terlebih dahulu mengaku dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat Sarawak dengan propaganda politik berat sebelah.

Selain itu, kempen SUPP menjenamakan DAP sebagai parti Semenanjung Malaysia dianggap sebagai retorik untuk mendapat sokongan rakyat.

Ia juga dianggap sebagai propaganda parti Barisan Nasional (BN) tempatan untuk menutup kesalahan mereka sebagai kerajaan sejak penubuhan Malaysia sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

“DAP adalah parti kebangsaan berjuang untuk hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan kawasan,” jelasnya.

Beliau menambah, semua pemimpin dalam DAP Sarawak merupakan rakyat Sarawak dan mereka turut komited mempertahankan hak rakyat di negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/21/dap-anggap-permohonan-maaf-supp-kepada-rakyat-tidak-ikhlas/