Dana sekolah persendirian Cina akan ditambah

Ia sejajar dengan pengiktirafan UEC di sekolah berkenaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir di negeri ini

// Oleh Sudan Ajang //

CENDERAMATA: Abang Johari menerima cenderamata daripada Hii (empat kiri)
selepas majlis pelantikan di Miri malam kelmarin.

CENDERAMATA: Abang Johari menerima cenderamata daripada Hii (empat kiri) selepas majlis pelantikan di Miri malam kelmarin.

MIRI: Kerajaan Sarawak meningkatkan dana untuk sekolah persendirian aliran Cina di negeri ini pada tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, ia adalah sejajar dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC) di sekolah berkenaan sekali gus menyaksikan transformasi pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir di negeri ini.

“Setakat ini, kita belum mengetahui jumlah tambahan peruntukan namun kita memberi jaminan jumlah itu lebih banyak berbanding sebelumnya,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Pelantikan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bahagian Miri di sini malam kelmarin.

Beliau menambah, pemberian peruntukan tambahan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menambah baik sistem pendidikan tanpa mengira sekolah kerajaan atau sekolah persendirian seperti sekolah persendirian Cina.

“Pembangunan pendidikan merupakan agenda utama kerajaan memastikan anak-anak Sarawak terus cemerlang dalam pelbagai bidang dan mampu bersaing di dunia luar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu bahawa pengeluaran lesen perladangan dan pembalakan dihentikan bagi memberi tumpuan terhadap pembangunan dan penyelidikan bioteknologi dan pelancongan.

“Kita mempunyai banyak rancangan masa depan untuk menarik lebih ramai pelancong dari China datang ke sini sekali gus membantu meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Terdahulu, Penasihat Besar Konsulat Republik China di Kuching Fu Ji Jun memuji komitmen Adenan dalam memperjuang hak autonomi rakyat negeri ini.

Katanya China dan Sarawak mempunyai hubungan erat dalam ekonomi dan kerjasama perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau turut memuji peranan dimainkan persekutuan dalam menjaga kepentingan kaum Cina di negeri ini.

“Peranan persekutuan akan terus relevan dalam memastikan pendidikan kebajikan kaum Cina di Sarawak tidak diabaikan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia Datuk Wong Aik Luong, Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak Teck Yun, Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/06/dana-sekolah-persendirian-cina-akan-ditambah/