Dakwaan UKAS ejen propaganda dibidas

KUCHING: Dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, bahawa Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebagai ejen kerajaan negeri untuk menyebar berita palsu, dianggap tuduhan tidak berasas.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol berkata, tuduhan itu amat serius dan berniat jahat.

Malahan, Abdullah turut menyifatkan tuduhan terhadap salah satu unit dalam perkhidmatan awam Sarawak itu sebagai tindakan politik yang tidak beretika.

Justeru beliau mencabar Chieng Jen untuk membuktikan laporan UKAS yang didakwanya sebagai penyebaran berita palsu.

“Agensi Persekutuan seperti Jabatan Penerangan dan RTM dikawal oleh Menteri Persekutuan dan tidak lagi menyiarkan secara adil berita penting mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak.

“Ia menyebabkan rakyat Sarawak tidak mendapat berita dan maklumat penting (berhubung dasar kerajaan negeri),” katanya yang juga Menteri Muda yang bertanggungjawab terhadap UKAS dalam kenyataan media, semalam.

Kenyataan Abdullah itu sebagai maklum balas terhadap ucapan Chieng Jen pada Konvensyen Tahunan DAP Sarawak di Miri, Ahad lalu yang antara lain mendakwa UKAS sebagai ejen kerajaan negeri untuk menerbitkan berita palsu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, dakwaan Ching Jen itu seolah-olah cuba menutup perbuatan mereka sendiri yang memperalatkan agensi Persekutuan untuk menjatuhkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

UKAS ditubuhkan untuk menyebar berita dan maklumat yang tepat mengenai berbagai inisiatif kerajaan.

Ia juga bertanggungjawab untuk mendapatkan maklum balas berhubung pelbagai isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Jika Chieng Jen atau pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain mendapati maklumat yang disiarkan UKAS sebagai berita palsu, mereka bebas untuk menangkis atau memberi penjelasan mengenainya,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/623294/dakwaan-ukas-ejen-propaganda-dibidas