CSO seru tindakan proaktif elak kes jenayah tembak berulang

KUCHING: Organisasi Masyarakat Madani (CSO) menyeru tindakan proaktif diambil dengan segera dalam mengelakkan kes jenayah tembak berulang pada masa akan datang susulan pembunuhan seorang aktivis, Bill Kayong Selasa lalu.

Jurucakap CSO Peter Kallang berkata, insiden seumpama itu bukan yang pertama berlaku di bandar raya Miri malah dalam beberapa tahun ini, beberapa siri pembunuhan berlaku di seluruh negeri dengan modus operandi sama iaitu menembak ketika memandu.

“Kami menggesa pihak polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dengan segera dalam menangani jenayah jenis ini dengan meningkatkan aktiviti kepolisan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan bagi mencegah jenayah itu daripada berulang pada masa depan,” katanya dalam kenyataan bersama CSO yang dikeluarkan di sini, semalam.

Peter memberitahu, pihaknya amat terkejut dan bersedih atas kematian rakan sepejuangan mereka yang dibunuh di lampu isyarat berdekatan Pusat Komersil Emart di Miri.

“Kami mengutuk jenayah kejam itu dan menggesa polis menyiasat dengan teliti serta sewajarnya untuk membawa pembunuh dan sesiapa yang mengarahkan pembunuhan itu ke muka pengadilan.

“Kami juga menggesa polis menyiasat pihak terlibat dalam pertikaian tanah Hak Adat Bumiputera di mana Allahyarham Bill Kayong terlibat dalam memperjuangkan, terutama syarikat-syarikat yang menggunakan samseng untuk menjaga estet perladangan,” katanya.

Baru-baru ini, katanya seorang peguam hak tanah tempatan turut menerima ancaman apabila mewakili masyarakat peribumi yang berhadapan pertikaian tanah dengan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit tertentu dalam bahagian Miri.

Beliau turut menyeru kerajaan melihat kes pertikaian tanah di negeri ini dengan serius selain melihat undang-undang dan dasar-dasar sedia ada selain pendekatan diambil dalam menangani apa-apa aktiviti pembangunan yang menjejaskan hak dan kepentingan Orang Asal dan masyarakat tempatan.

“Kami juga menggesa kerajaan membangunkan dan melaksanakan mekanisme praktikal melalui penglibatan pihak berkepentingan berkaitan untuk menegakkan prinsip-prinsip bebas, persetujuan terlebih dahulu (FPIC) seperti termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang-Orang Asal (UNDRIP) dan instrumen lain hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri lalu, beliau bertanding atas tiket PKR di kerusi Bekenu tetapi kalah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/23/cso-seru-tindakan-proaktif-elak-kes-jenayah-tembak-berulang/