COVID-19: MASwings kurangkan penerbangan

KUCHING: MASwings mengumumkan pengurangan kekerapan dan penangguhan penerbangan membabitkan pesawat ATR72-500 dan DHC6 Vikings milik mereka berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac nanti.

Pegawai Jabatan Komunikasi MASWings yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Rozanah Robert, berkata langkah itu diambil berikutan sekatan perjalanan berterusan yang dikenakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Kita ambil kira faktor tempahan penerbangan yang sangat rendah dan permintaan pelanggan yang merosot berikutan arahan duduk di rumah bagi mematuhi PKP.

“Selain itu, ia didorong dasar larangan perjalanan antara Sabah dan Sarawak yang dikenakan ke atas pelancong luar dan pelancong tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya penangguhan penerbangan membabitkan laluan Kota Kinabalu ke Mulu, Limbang, Lawas dan Kudat serta dari Kuching ke Mulu dan dari Tawau ke Tarakan, Indonesia.

“Penerbangan dari Miri ke Bintulu dan dari Kudat ke Sandakan juga akan ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Beliau berkata, MASwings beroperasi sepenuhnya di bawah Tanggungjawab Perkhidmatan Sosial (PSO) sejak 18 hingga 20 Mac lalu.

“Setakat 21 Mac lalu, kita hanya kurangkan operasi 16 peratus bagi menampung keperluan penduduk tempatan dan pelancong lain yang mempunyai keperluan untuk pulang, dengan hanya 12 peratus kapasiti tempat duduk ditawarkan.

“MASwings bagaimanapun komited untuk terus menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kekerapan dikurangkan dan dengan menawarkan sambungan penerbangan alternatif jika perlu,” katanya.

Dalam mematuhi PKP, katanya semua pejabat tiket MASwings di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beroperasi antara 8 pagi hingga 2 petang setiap hari sehingga 31 Mac ini.

Untuk maklumat terkini dan bantuan mengenai penangguhan perjalanan atau pertanyaan lain, sila hubungi talian bebas tol MASwings di 1-300-88-3000 dan +60-7843-3000 (untuk luar Malaysia) atau lawati laman web rasmi MASwingsdi www.maswings.com.my / www.malaysiaairlines.com.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/03/669232/covid-19-maswings-kurangkan-penerbangan

© Copyright 2006-2018 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.