COVID-19: JPBN Sarawak capai keputusan terbaru hari ini

PETRA JAYA: Semua rakyat Malaysia yang memasuki Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan serta tinggal di kawasan bandar atau pekan, tidak akan dikenakan perintah kuarantin di hotel atau pusat lain, berkuat kuasa Sabtu ini.

Sebaliknya, mereka akan dipasangkan gelang tangan khas atau ‘wristband’ dan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan terbaru itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, golongan berkenaan perlu diambil sampel COVID-19 pada hari pertama atau kedua di Klinik Kesihatan berdekatan.

"Namun, mereka yang destinasi terakhir jauh di kawasan pedalaman, iaitu di luar dari bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, akan dikuarantin serta diambil sampel ujian COVID-19 pada hari kedua.

“Jika keputusan ujian adalah negatif, mereka dibenarkan pulang ke rumah tanpa perlu menyambung baki kuarantin,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan wabak COVID-19 di Sarawak, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, pihaknya turut mencapai keputusan untuk membenarkan stesen minyak dan kilang beroperasi seperti biasa dan bukan ditutup pada jam 10 malam seperti sektor ekonomi lain, mulai Sabtu ini.

"Sebelum ini, JPBN mengumumkan masa operasi perniagaan di Zon 1 yang meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Bagaimanapun, stesen minyak dan kilang dibenarkan beroperasi seperti biasa selama 24 jam. Namun, mereka harus memberi notis makluman kepada JPBN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19, hari ini, dengan jumlah kekal 677 kes.

“Setakat hari ini, 10 kluster masih aktif ialah Kluster Syarikat Kejuruteraan membabitkan lapan kes, Kluster Mambong (tujuh), Kluster Pusat Perubatan (tiga), Kluster Jupiter (tiga), Kluster Pasar Stutong (tujuh), Kluster Jeti Kuching (dua), Kluster Sentosa (31), Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Melbourne (tiga), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua) dan Kluster Pasar Satok (empat),” katanya.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716555/covid-19-jpbn-sarawak-capai-keputusan-terbaru-hari-ini

© Copyright 2006-2020 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.