Cinta terlarang

MIRI: Seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai menculik dan melarikan anak saudara perempuan yang juga teman wanitanya, berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) di sini, petang semalam.

Menurut sumber polis, lelaki tersebut ditahan oleh sepasukan polis di hadapan lampu isyarat Jalan Lutong-Kuala Baram sekitar jam 3 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam yang melihat mangsa melambai-lambai dari dalam kenderaan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik menerima panggilan, pihak kami bergegas ke lokasi berkenaan dan berjaya mengesan kenderaan tersebut dengan menghentikannya serta-merta, demikian menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit.

Menurut sumber, suspek telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta semasa suspek ternampak mangsa di sebuah pasar raya di sini pada hari berkenaan.

Suspek dikatakan dalam perjalanan menuju ke Kuala Baram, apabila pasukan polis MPV tiba di lampu isyarat terbabit tepat pada masanya dan menahan suspek.

Kedua-dua suspek dan mangsa yang mempunyai hubungan persaudaraan, dikatakan telah menjalin hubungan sulit sejak lebih enam bulan lepas.

Namun, apabila mangsa dikatakan mahu memutuskan hubungan mereka, suspek dipercayai naik berang, malah sanggup memandu 4WD dari Belaga ke Miri semata-mata mahu bertemu dan bersemuka dengan mangsa.

Sementara itu, polis turut menemui sepucuk senapang patah dan sebilah parang semasa pemeriksaan dibuat ke atas kenderaan yang dipandu suspek.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami ketika bergelut dengan suspek untuk membebaskan dirinya semasa berada di dalam kenderaan tersebut.

Manakala suspek ditahan di Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut polis.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/22/cinta-terlarang/