Chong sifatkan perbelanjaan geran MRP sebagai tidak telus

KUCHING: Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) semalam mempersoalkan perbelanjaan geran projek kecil luar bandar (MRP) di negeri ini yang disifatkannya tidak telus.

Malah beliau menggelar MRP sebagai My Rear Pocket fund (dana Saku Belakang Saya) dan tindakannya itu menyebabkan dewan kecoh seketika.

Chong ketika membahaskan Bajet Negeri 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam berkata dana MRP pada 2015 ialah RM905,900,000 dan setiap konstitensi luar bandar iaitu hampir 60 sepatutnya mendapat kira-kira RM15 juta untuk projek kecil luar bandar.

“Saya tidak lihat banyak sangat projek kecil luar bandar dilaksanakan. Maka dana MRP membawa makna ‘dana Saku Belakang Saya’?… bak kata pepatah Melayu siapa makan cili dia berasa pedas,” ujarnya.

Keadaan itu menyebabkan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar membuat ketetapan agar Chong menarik balik kenyataannya itu.

Menurut Chong, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebelum ini pernah menyatakan kira-kira 1,818 projek MRP telah dilaksanakan pada 2015 maknanya kira-kira 50 projek dengan purata RM500,000 setiap satu di 60 konstituensi luar bandar.

Selain itu ujarnya, tambahan RM250 juta sebagai Dana Bantuan Pembangunan Khas, bermakna tambahan RM4 juta untuk setiap konstituensi luar bandar.

Chong turut mempersoal Bajet Negeri 2016 yang dikatakan ‘lebih kepada pembangunan luar bandar’ namun pengurangan ketara untuk pembangunan luar bandar berbanding tahun ini.

Dalam perkembangan lain Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak, mahu kerajaan negeri mempertimbang dengan serius cadangan menyediakan perkhidmatan bas awam secara percuma kepada rakyat khasnya di bandar-bandar utama di Sarawak.

“Kerajaan negeri seharusnya memperkenalkan perkhidmatan bas awam secara percuma kepada penduduk di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Satu dasar harus diperkenalkan sekarang bagi membolehkan kerajaan mengambil alih perkhidmatan bas awam, memberi subsidi kepada syarikat bas seperti sekarang hanyalah penyelesaian sementara,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/10/chong-sifatkan-perbelanjaan-geran-mrp-sebagai-tidak-telus/