Bukti kerajaan serius menuntut hak negeri

Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 jawab dakwaan pembangkang: Dr Juanda

// Laporan oleh Saibi Gi, Patricia Gari, Agnes Tugong, Nick Fletcher, Rusnan Mustafa, Siti Aisyah Ramli, Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 bukti kerajaan negeri serius dalam tuntutan balik hak negeri seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, rang undang-undang ini juga akan menjawab dakwaan pembangkang yang memperlekehkan usaha kerajaan dalam tuntutan MA63.

“Tahniah kepada Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom atas pembentangan usul bagi rang undang-undang ini dan saya menyokong penuh usaha kerajaan ini.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa serius untuk melaksanakan isi kandungan perjanjian MA63 dan menuntut balik hak negeri yang merupakan pemilik asal hasil bumi termasuk minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasannya mengenai rang undang-undang tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam.

Tambah Juanda, melalui rang undang-undang ini beliau berharap kerajaan akan memastikan penglibatan lebih ramai pemain tempatan dalam industri ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan memastikan harga gas murah agar rakyat dapat menikmati hasil bumi sendiri termasuk pengguna domestik, komersial dan industri.

“Rakyat luar bandar terutama mereka yang jauh daripada sumber gas seperti Miri dan Bintulu juga hendaklah mendapat nikmat daripada gas ini.

“Saya mahu melihat rakyat luar bandar tersenyum dengan harga gas yang murah bagi mengatasi bebanan sara hidup mereka yang biasanya menjadi mangsa pihak yang menjual gas melebihi harga dibenarkan,” tambahnya.

Juanda turut memohon kerajaan negeri melaksanakan undang-undang ini dengan segera selepas diluluskan melalui mekanisme yang tulus, cekap dan berintegriti.

Hanya dengan semangat ini, hasrat murni kerajaan akan terlaksana dan membawa makna yang sebenar untuk rakyat.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/22/bukti-kerajaan-serius-menuntut-hak-negeri/