Budak ditinggal sendirian di pusat beli-belah ditemukan semula dengan keluarga

MIRI: Seakan filem pecah panggung ‘Home Alone’ pada 1990, apabila seorang budak lelaki ditinggalkan sendirian di rumah secara tidak sengaja semasa cuti Krismas, sebuah keluarga dari Brunei juga mengalami nasib serupa, selepas tertinggal anak lelaki mereka di sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.

Orang ramai menemui kanak-kanak lelaki itu merayau bersendirian di kompleks berkenaan kira-kira 6 petang dan memaklumkan kepada polis yang kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Pusat Miri.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata keluarganya tidak menyedari anak mereka hilang dan terus menaiki kenderaan bersama-sama empat lagi anak mereka.

“Bapa berusia 46 tahun itu, yang juga seorang penjawat awam di Brunei, hanya menyedari anak lelakinya tiada di dalam kereta selepas 10 minit beredar dari pusat beli-belah itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lelaki itu kembali semula untuk mencari anaknya dan dimaklumkan oleh pengawal keselamatan anaknya telah dibawa ke balai polis.

Khoo berkata lelaki itu mengambil anaknya di balai polis pada jam 7.30 malam selepas mengemukakan pasport anak lelakinya.

Kejadian itu yang berakhir dengan kegembiraan, walaupun kanak-kanak berkenaan tidak berdepan dengan penjahat seperti aksi yang dilakonkan oleh Macaulay Culkin, terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan anggota polis Miri.

Gambar kanak-kanak itu viral di media sosial malam tadi selepas berita mengenai kehilangan kanak-kanak warga Brunei itu disebarkan secara meluas.

Akhir Disember adalah tempoh paling sibuk di Miri kerana ramai kakitangan kerajaan dari Brunei datang membeli-belah dan menghabiskan cuti mereka di sini. — Bernama

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/30/budak-ditinggal-sendirian-di-pusat-beli-belah-ditemukan-semula-dengan-keluarga/