Buang yang keruh, ambil yang jernih

KENANGAN AIDILFITRI: Penguang (depan, enam kiri) serta isteri (sebelah kanan beliau) Monica dan tetamu yang lain bergambar bersama penduduk kampung. Turut kelihatan Ketua Kaum Said Taha (lima kanan).

Ahli parti termasuk yang masih menyimpan rasa ‘salah faham’ diminta kembali bersatu menyemai perpaduan serta keharmonian: Penguang

Oleh W. Bolly Ongie //

MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil meminta semua ahli parti daripada pelbagai latar politik termasuk mereka yang masih menyimpan rasa ‘salah faham’, supaya kembali bersatu menyemai perpaduan serta keharmonian kaum bagi memastikan keamanan berkekalan.

Justeru beliau yang juga ADUN Marudi, sekali lagi menggesa masyarakat di konstituensi Marudi khususnya kalangan ketua kaum dan masyarakat di sini termasuk penduduk kaum Melayu di Kampung Benawa supaya meneruskan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar tidak ketinggalan menikmati hasil pembangunan di kawasan masing-masing.

Penguang memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Benawa di Dewan Serba Gunanya semalam.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Kiput-Islam di Kampung Benawa, Penguang turut memberi ucapan terima kasih tidak terhingga kerana sokongan padu penduduk kampung kepadanya semasa pilihan raya negeri yang lepas, sekali gus memberi kemenangan kepada BN.

“Sebagai seorang wakil rakyat kepada semua orang dan tidak mengira bangsa, agama dan kepercayaan, saya akan berusaha membawa pembangunan terbaik kepada rakyat di sini dan sebaliknya mengharapkan kerjasama dan sokongan padu rakyat Marudi,” katanya.

Sempena lawatan tersebut, beliau turut mengumum geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM100,000 untuk membaiki dan memajukan Masjid Kampung Benawa yang kini hanya menunggu untuk sebutan tender sahaja, RM60,000 lagi untuk membaik pulih Balai Raya Kampung Benawa dan sejumlah RM10,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Benawa.

Sementara itu, RM20,000 lagi daripada pihak Majlis Daerah Marudi (MDM) untuk membina dan membaiki jalan konkrit kampung.

Dari pekan Marudi ke Kampung Benawa, hanya dapat dihubungi melalui pengangkutan sungai, melalui Sungai Baram dan mengambil masa sejam lebih, selain jalan melalui ladang kelapa sawit dari Miri.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Monica Ukong, Setiausaha Majlis Daerah Marudi Patrick Linggi Taboh, Ketua Masyarakat Melayu Marudi Penghulu Ayub Hassan serta ketua-ketua kaum di sini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/17/buang-yang-keruh-ambil-yang-jernih/