BR1M tidak harus dianggap elemen rasuah: Ahmad Lai

BR1M adalah inisiatif kerajaan membantu mengurangkan bebanan rakyat akibat kos sara hidup yang kian meningkat

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Setiap bantuan yang diberi kerajaan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak harus dianggap satu elemen ‘gula-gula’ atau rasuah bagi mendapat sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata BR1M dilancarkan sejak 2012 adalah inisiatif kerajaan membantu mengurangkan bebanan rakyat disebabkan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Rakyat seharusnya ber-terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan BR1M, malah menambah jumlahnya daripada RM900 kepada RM1,200 bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 pada tahun depan,” katanya di sini semalam.

Katanya di Parlimen Sibuti jumlah pemohon baharu meningkat kira-kira 1,000 orang dan membuktikan pentingnya bantuan itu bagi meringankan beban rakyat.

Tambahnya, individu bujang dan keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 dikesan paling ramai memohon BR1M di kontituensi itu.

“BR1M merupakan bantuan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terutama isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 dan bujang kerana boleh digunakan untuk membeli barangan persekolahan anak-anak dan sebagainya,” jelas beliau.

Menurutnya, pengagihan BR1M tahun depan amat mudah kerana disalurkan terus ke akaun bank penerima berbanding secara manual atau menuntut di kaunter atau bank seperti sebelumnya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BR1M adalah rasuah terbesar yang dilakukan di negara ini.

Pandangan bekas Perdana Menteri itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk penerima BR1M yang meng-anggap Tun Mahathir sudah tidak relevan dalam mempersoal dasar-dasar kerajaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/27/br1m-tidak-harus-dianggap-elemen-rasuah-ahmad-lai/