Botox Bukan Satu Rawatan Tapi ‘Penipuan’

Botox Bukan Satu Rawatan Tapi Penipuan

KITA kini berada di era revolusi gaya hidup. Revolusi itu mendorong manusia melakukan apa sahaja untuk kepuasan diri. Bagi golongan ini, wang bukan masalah untuk mencapai impian yang dihajati. Justeru, semakin hari semakin ramai yang mencuba botox.

Suntikan botox tiba-tiba menjadi begitu popular di negara ini. Gaya hidup mewah yang semakin memonopoli memudahkan proses penerimaan kepada unsur-unsur yang membelangkangkan tradisi dan kepercayaan agama ini.

Botox pertama kali mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) pada tahun 1989 untuk merawat masalah perubatan seperti juling dan blefarospasma (kerdipan mata tidak terkawal).

Dalam bidang kosmetik, kelulusannya hanya diperoleh pada April 2002. Bermula detik itu, penerimaan terhadap botox seperti tiada penghalangnya. Siapa yang berkemampuan maka kecantikannya akan bertambah-tambah.

Di sebalik sikap berlumba-lumba mahu kelihatan cantik dan menarik, ramai manusia sanggup melakukan pelbagai cara termasuklah melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa sendiri. Sedangkan Islam amat melarang umatnya melakukan perbuatan yang jelas boleh memudaratkan kesihatan.

Sememangnya banyak kejayaan dicatat melalui penggunaan botox. Secara umumnya, botox bukan sahaja digunakan di dalam bidang kecantikan tetapi juga meliputi aspek-aspek kesihatan yang lain.

Selain membantu sebagai agen antipenuaan, botox dikatakan mampu menyelesaikan masalah perpeluhan melampau, membantu memulihkan kembali tenaga pesakit strok dan mengatasi masalah pembesaran prostat.

Dalam masa sama, banyak juga laporan akibat daripada kesan sampingan yang ditinggalkan.

Mengapa manusia mahu menjadi cantik ialah kerana fitrah manusia itu sendiri yang mudah tertarik dengan sesuatu yang kelihatan menarik. Malangnya, dilahirkan cantik dengan mengubah diri kelihatan cantik adalah dua perkara berbeza.

Justeru Jumaat lalu, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) memutuskan secara rasmi suntikan botox untuk tujuan komestik adalah haram.

Kajian

Menurut Pengerusi MFK, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin, laporan daripada kajian yang dibuat oleh pakar tempatan dan luar negara termasuk dari Asia Barat itu mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi selain wujud bahan tiruan yang boleh mendatangkan kesan sampingan.

Berdasarkan semua pandangan dan pertimbangan kita, muzakarah memutuskan suntikan botox haram digunakan, katanya dalam satu sidang media.

Sebelum itu, salah seorang Ahli Jawatankuasa MFK, Datuk Seri Harussani Zakaria telah pun menjelaskan kedudukan perkara itu kepada Utusan Malaysia.

Harussani yang juga Mufti Perak menjelaskan, jawatankuasa berkenaan menganggap penggunaan botox adalah satu cubaan untuk mengubah kejadian Allah.

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis, serta beberapa maslahat lain, kami mengambil keputusan mengharamkan penggunaan suntikan botox yang digunakan untuk rawatan menegangkan kulit muka.

Terdahulu, dua pensyarah syariah dari Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Nasran Mohamad dan Ahmad Dahlan Salleh ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam pada Seminar Kebangsaan Produk Halal 2006 anjuran Sekretariat Falsafah Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang telah pun menegaskan botox adalah haram.

Sekiranya pembedahan dilakukan hanya sekadar suka-suka seperti memancungkan hidung atau membesarkan mata yang sepet hingga mengelirukan orang ramai, maka ia adalah haram. Tindakan demikian bukan sahaja mendatangkan masalah pada kemudian hari tetapi mengubah kejadian asal tanpa sebab munasabah.

Pakar Estetik dan Antipenuaan, Alice Total Wellness, Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Alice Prethima Michael dalam satu temu bual dengan Mingguan Malaysia sebelum ini berkata, botox jenis ini merupakan protein yang dihasilkan oleh bakteria clostridium botulinum. Terdapat banyak jenis racun botulinum iaitu A, B, C, E, F dan G.

Ia merupakan bahan yang boleh menyebabkan botulisme iaitu satu bentuk keracunan makanan yang terjadi apabila seseorang memakan sesuatu yang mengandungi neurotoksin yang terhasil daripada bakteria berkenaan.

Gejala botulisme paling serius adalah kelumpuhan, katanya. Dalam sesetengah kes, ia menyebabkan kematian.

Kesan-kesan sampingan lain adalah seperti kelopak mata jatuh (sehingga beberapa minggu), pendarahan atau lebam pada bahagian yang disuntik, jangkitan kuman dan terasa seperti menghidap selesema.

Selain itu, termasuklah sakit kepala dan perut meragam manakala risiko botulism (kesukaran menggerakkan tangan, kaki atau sesak nafas dan melibatkan nyawa) adalah rendah, selagi ia dilaksanakan dengan betul oleh doktor.

Botox hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan bergantung kepada kawasan yang disuntik sama ada tepi mata, antara dua kening, dahi atau kening. Tempoh paling panjang hanya sembilan bulan.

Apabila otot-otot kembali seperti sedia kala, kedut dapat dilihat semula, katanya sambil menambah, botox juga boleh digunakan untuk merobah bentuk senyuman dan ekspresi wajah serta membentuk dagu.

Oleh itu, jika ingin mendapatkan kesan berpanjangan, suntikan tersebut perlu diulang tidak terlalu kerap selepas tiga bulan. Ini bertujuan mengelakkan suntikan yang bakal diambil pada masa akan datang menjadi tidak berkesan kerana tubuh manusia mampu membina antibodi dalam tempoh berkenaan, ujar Dr. Alice.

Semula jadi

Selain usia itu sendiri, manusia menjadi tua dipengaruhi oleh beberapa faktor. Tekanan, makanan tidak seimbang, tidak bersukan, pencemaran dan terdedah kepada racun serta kekurangan hormon juga menjadi penyebabnya.

Kesimpulannya, kulit berkedut merupakan sebahagian daripada proses penuaan semula jadi. Namun garis-garis yang tidak diingini ini boleh diatasi, juga dengan proses-proses semula jadi. Selain itu menghidarkan diri dari sinaran matahari secara langsung, tidak merokok dan melakukan senaman secara rutin turut mencegah diri dari cepat tua.

Dalam hal ini keputusan mengharamkan penggunaannya di kalangan orang Islam sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Dan kepada yang bukan Islam, pilihan di tangan sendiri. Apa yang penting tepuk dada tanya selera! :smiley: