Bot kargo ditahan, bawa muatan rokok bernilai RM2.6 juta

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan menahan sebuah bot kargo dan merampas rokok dianggarkan bernilai RM2.6 juta yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.

Bot kargo itu ditahan jam 11 malam Isnin lalu oleh Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Api 2/2020 di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Usukan.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah, berkata kehadiran bot kargo yang berdaftar di Mongolia itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA selepas melihat ia dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan didapati tekong bersama empat kru warga India dan dua kru warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa muatan rokok putih dianggarkan sebanyak 650,000 kotak kecil dari Vietnam yang disyaki barang larangan bernilai RM2.6 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan akan dihantar ke dua lokasi berasingan.

"Berdasarkan dokumen rokok itu akan dihantar ke Miri Sarawak dan Balik Papan, Indonesia. Selain itu, dokumen pelayaran bot juga meragukan dan tiada rekod ‘crew list’ sementara ‘port clearence’ tamat tempoh.

“Bagaimanapun tekong dan kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Bot dan kru dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut dan menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya.

Mohd Rosli berkata, bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/720506/bot-kargo-ditahan-bawa-muatan-rokok-bernilai-rm26-juta