Borneo Jazz beri pulangan lumayan

Penganjuran acara dapat penghormatan, perhatian media antarabangsa

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan terus gigih memberikan yang terbaik dalam penganjuran Borneo Jazz, antara acara terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Datu Ik Pahon Joyik berkata, acara itu bukan sahaja mendapat penghormatan warga tempatan malah diberi perhatian media antarabangsa termasuk penggemar muzik jazz serantau sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, Borneo Jazz turut berkembang bersama dengan acara seangkatannya Rainforest World Music Festival dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Melalui penganjuran Borneo Jazz ini, secara langsung membantu dan meningkat pendapatan ekonomi tempatan. Bahkan, pada penganjuran tahun lalu, keuntungan ekonomi tempatan pada hujung minggu penganjurannya mencecah melebihi RM17 juta, katanya.

Beliau berkata demikian sempena jamuan malam mengalu-alukan kumpulan band, media, penaja dan organisasi terlibat sama dalam Borneo Jazz 2015 yang dikendali Meritz Hotel di sini malam kelmarin.

Pahon menjelaskan, untuk bahagian media, penganjuran Borneo Jazz menyumbangkan sekitar RM10 juta untuk bahan cetakan, sumber digital dan sumber berkaitan.

Sehubungan itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengamal media yang telah membantu mempromosi program berkenaan.

Katanya, tanpa sokongan Borneo Jazz tidak akan menjadi antara ikon pelancongan membantu menjadikan Miri sebuah bandar raya peranginan sekali gus meletakkan Sarawak lokasi pilihan pelancongan di peta dunia.

Acara Borneo Jazz 2015 membuka tirainya malam semalam (8 Mei) di Parkcity Everly Hotel Miri dengan menampilkan kumpulan band tempatan Shafiee Obe & All The Best, Lluis Coloma (Spain), The Nylons (Kanada) dan Jump4Joy (Sweeden).

Selain itu, penonton turut dihibur dengan bakat antarabangsa kumpulan pelajar yang masing-masing dari sekolah menengah di sini iaitu Chung Hua Miri Brass Band dan Riam Road Secondary School Bruins Marching Band.

Hadir sama dalam majlis makan malam terbabit ialah Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Pengerusi Eksekutif Miri Housing Group of Companies Datuk Lau Siu Wai.