Bomba selesai sanitasi TASKA

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengerah sepenuhnya keupayaan bagi membersihkan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di negeri ini.

Ia berikutan kebenaran diberikan untuk semua TASKA di Sarawak beroperasi semula mulai Selasa ini.

Penolong Pengarah Operasi JPBM Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata berikutan situasi pandemik COVID-19 yang semakin pulih, JBPM Sarawak menubuhkan pasukan khas, khusus bagi melaksanakan program sanitasi di TASKA serta Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di negeri ini.

Beliau berkata, tumpuan utama pihaknya di kawasan Kuching dan Kota Samarahan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon merah COVID-19.

"JBPM Sarawak berjaya melaksanakan program sanitasi sepenuhnya di semua TASKA dan TADIKA di dua lokasi itu dalam tempoh dua minggu.

“Ia membabitkan sebanyak 468 TASKA dan TADIKA di Kuching serta 124 di Kota Samarahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ling Hii berkata, secara keseluruhannya, program sanitasi itu sudah dilaksanakan di 857 TASKA dan TADIKA di seluruh Sarawak.

“Selain Kuching dan Kota Samarahan, TASKA dan TADIKA di kawasan Bau juga sudah menjalani sanitasi 100 peratus,” katanya.

Daerah lain yang turut menjalani proses nyah cemar di TASKA dan TADIKA ialah Miri (62), Bintulu (29), Asajaya (31), Simunjan (13), Serian (9), Kanowit (5), Mukah (3), Kapit (3), Limbang (2), Sibu (2) manakala Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan masing-masing satu.

Khamis lalu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, mengumumkan TASKA di Sarawak dibenarkan dibuka semula mulai Selasa ini dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/06/697053/bomba-selesai-sanitasi-taska