Bomba Sarawak sedia nyah cemar lapangan terbang negeri

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sedia melaksanakan program sanitasi awam bagi membersihkan semua lapangan terbang di negeri ini dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Penolong Pengarah Operasinya, Tiong Ling Hii, berkata buat permulaan, pihaknya melaksanakan operasi nyah cemar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan 29 anggota JPBM dengan bantuan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Malaysia Airport Holdings Berhad.

“Semua lokasi di luar dan dalam lapangan terbang ini yang dikenal pasti disentuh manusia termasuk di sky bridge disembur dengan cecair anti kuman.

“Jika ada permintaan daripada pengurusan lapangan terbang lain di negeri ini seperti Sibu, Miri dan Bintulu, anggota kami bersedia untuk melaksanakannya,” katanya ketika ditemui di LTAK hari ini.

Ling Hii berkata, ketika ini amat sesuai untuk melaksanakan program sanitasi awam di lapangan terbang berikutan jumlah penerbangan yang berlepas dan tiba amat kurang.

“Selain itu, jumlah orang lalu lalang di lapangan terbang juga amat sedikit, begitu juga premis perniagaan yang ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia sekali gus memudahkan tugas kami untuk melaksanakan operasi nyah cemar,” katanya.

Beliau berkata, selain LTAK, JPBM Zon Kuching turut melaksanakan program sanitasi awam di beberapa kawasan lain hari ini antaranya di Jalan Semarak dan Laruh Skim yang dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Anggota BBP Kota Samarahan pula bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan operasi nyah cemar di lokasi berisiko di Kota Samarahan.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah turut meminta bantuan JBPM melaksanakan operasi di lokasi tumpuan awam Betong dan Sri Aman hari ini,” katanya.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/672562/bomba-sarawak-sedia-nyah-cemar-lapangan-terbang-negeri