BN Sarawak buktikan mengiktiraf sumbangan wanita

MIRI: Keputusan Barisan Nasional (BN) Sarawak menampilkan enam calon wanita, termasuk tiga muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukti pengiktirafan terhadap keupayaan dan sumbangan golongan itu.

Ketua Pergerakan Wanita BN Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata pertambahan jumlah calon wanita itu juga cukup baik untuk perkembangan politik di negeri ini, khususnya dalam meningkatkan penyertaan mereka sebagai pembuat dasar pentadbiran negara.

“Untuk PRU-14, kita dapat lihat ada pertambahan calon wanita bertanding. Ini jelas memperlihatkan komitmen berterusan BN Sarawak dalam usaha memperkasakan golongan wanita, khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Turun Padang Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Miri, di sini, hari ini.

Keseluruhannya, BN Sarawak mengekalkan tiga calon penyandang wanita iaitu Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Nancy Shukri (Parlimen Batang Sadong) dan Rubiah Wang (Parlimen Kota Samarahan).

Malah, tiga muka.baharu wanita turut ditampilkan ini iaitu Datuk Hanifah Hajar Taib (Parlimen Mukah), Rita Sarimah Patrick Insol (Parlimen Selangau) dan Kho Teck Wan (Parlimen Bandar Kuching).

Fatimah berkata, menjadi agenda utama wanita BN untuk memastikan kemenangan besar kali ini, bukan sekadar mempertahankan 25 kerusi sedia ada, tetapi juga mengembalikan kerusi ditawan pembangkang.

Ditanya mengenai penyandang digugurkan, beliau yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak, berkata tidak seharusnya wujud perasaan kecewa di kalangan individu terbabit.

"Kita perlu reda dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan setia menyokong BN sepanjang kempen pilihan raya nanti.

“Tiada sebab untuk memburukkan BN jika tidak dipilih, sebaliknya kekalkan semangat bekerjasama memastikan kemenangan calon yang menggantikan mereka. Jangan buat sebotaj,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/416794/bn-sarawak-buktikan-mengiktiraf-sumbangan-wanita