Bill Kayong mati ditembak

Oleh Rosemaria Buma dan Clare Cinderella//

MAUT:
Seorang anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

MAUT: Seorang anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

MIRI: Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong maut setelah ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dalam kejadian yang berlaku di lampu isyarat berdekatan Pusat Komersil Emart, Tudan di sini pagi semalam.

Bill, 43, mati di tempat kejadian setelah satu das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian leher sebelah kanan (bawah telinga kanan).

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, mangsa yang memandu seorang diri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin menuju ke pejabat yang terletak di pusat bandar.

Semasa berhenti di lorong tengah lampu isyarat itu yang menghala arah ke Permyjaya, mangsa dipercayai ditembak menggunakan selaras senapang patah dari jarak dekat.

Selain itu, terdapat satu kesan tembakan di cermin sebelah pemandu dan terdapat kesan peluru tembus ke cermin sebelah kiri bahagian penumpang belakang.

Difahamkan, beberapa orang awam yang melalui tempat kejadian pada awalnya menyangka kereta mangsa mengalami kerosakan kerana tidak bergerak beberapa ketika sehinggalah mereka meninjau dengan lebih dekat dan mendapati mangsa sudah terkulai tidak bernyawa di tempat duduk pemandu dengan kesan cedera di leher.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Maka, kita merayu kepada orang ramai yang ada melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

“Memandangkan kejadian berlaku di kawasan lampu isyarat yang kebiasaannya sesak terutama pada waktu pagi, kita percaya ramai pengguna jalan raya kemungkinan ada melihat kejadian tembak tersebut,” katanya.

Dev turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung motif kejadian tersebut sehinggalah siasatan selesai.

Kejadian itu menggemparkan penduduk sekitar Permyjaya dan ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan tentang kejadian termasuk isterinya, Hasyikin Hatta, 41, serta dua anaknya, seorang lelaki (18 tahun) dan seorang perempuan (14 tahun) turut bergegas ke tempat kejadian.

Bill, seorang mualaf, juga Setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) merupakan seorang ahli persatuan yang aktif dan aktivis yang amat lantang dalam memperjuangkan hak-hak kaum Dayak di negeri ini khususnya berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Menyertai PKR dari tahun 2001, beliau semasa hayatnya bertugas sebagai pembantu khas kepada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo dan bertanding mewakili PKR menentang calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas yang lain bagi kerusi N.71 Bekenu pada Pilihan Raya Negeri lepas.

Bill tewas kepada calon BN, Rosey Yunus pada pilihan raya tersebut.

Sebelum PKR, Bill mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

PILU:
Ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa berkerumun di tempat kejadian sebaik
mengetahui tentang kejadian itu.

PILU: Ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa berkerumun di tempat kejadian sebaik mengetahui tentang kejadian itu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/22/bill-kayong-mati-ditembak/