Bidang pembaikan saluran paip, kumbahan mempunyai permintaan tinggi

MIRI: Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin semalam mencadangkan agar Kursus Penyelenggaraan Industri turut memasukkan bidang kerja pembaikan saluran paip dan kumbahan kerana ia mempunyai permintaan tinggi.

Menurut Lee, dengan bertambahnya jumlah rumah kediaman dan pejabat perniagaan, maka permintaan kerja bagi bidang penyelenggaraan dan pembaikan paip air, saluran paip serta tandas tersumbat turut meningkat.

“Ia masih memerlukan kemahiran dan cara yang betul bagi menangani dan memperbaikinya.

“Justeru saya rasa wajar bagi pihak pengurusan Kolej Komuniti untuk memasukkan bidang kerja ini ke dalam Kursus Penyelenggaraan Industri, bagi menambahkan lagi kemahiran peserta dan bidang kerjaya mereka,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu semasa berucap mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Miri Ke-2 di sini, semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Pelancongan merupakan pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Miri.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berbangga dengan pencapaian dan prestasi kolej berkenaan yang sudah melahirkan ramai pelajar dengan kemahiran yang membolehkan mereka menerokai pasaran kerja baharu sama ada bekerja dengan syarikat atau jabatan mahupun bekerja sendiri.

Sejak ia dibuka pada 2010 hingga 25 Mei 2016, seramai 17,743 orang peserta telah mengambil pelbagai jenis kursus pendek ditawarkan di kolej ini.

“Bermula dengan hanya 348 orang sahaja ketika ia mula-mula dibuka pada 2010, sehingga kini tidak kurang daripada 2,000 pelajar mengambil pelbagai kursus yang ditawarkan sepanjang tahun di kolej ini,” katanya.

Bagi 2016, Kolej Komuniti Miri menawarkan dua program sepenuh masa iaitu Sijil Reka Bentuk Dalaman (SRD) dan Sijil Penyenggaraan Industri (SPI) yang mengambil masa selama 16 bulan atau empat semester dan diikuti dengan praktikal selama tiga bulan.

“Yuran pengajian untuk satu semester hanya RM200 dan ini merupakan antara yuran pengajian yang termurah di kalangan institusi pendidikan di Malaysia,” kata Lee sambil menambah, penerimaan pelajar tiada had umur, asalkan mereka pernah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memiliki kelayakan sekurang-kurangnya lulus Bahasa Melayu.

Malah katanya, pelajar mempunyai beban kewangan juga boleh memohon bantuan kewangan ditawar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) namun perlu mengikuti syarat yang ditetapkan termasuk pendapatan ibu bapa hendaklah kurang daripada RM3,000.

Bagi yang mahu memohon menjadi pelajar sepenuh masa, anda boleh membuat permohonan atas talian di http://upu.mohe.gov.my atau www.jpkk.edu.my atau datang terus Kolej Komuniti Miri dengan membawa bersama keputusan peperiksaan SPM dan kad pengenalan.

Tarikh pendaftaran pelajar baharu untuk kemasukan sesi Julai 2016 akan diadakan pada 13 Julai depan manakala pendaftaran bagi kemasukan sesi Julai kini sudah dibuka dan sedang berlangsung.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut semalam ialah Residen Bahagian Miri Antonio Khati Galis, Pengarah Kolej Komuniti Miri Fadil Aziz, Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran Amiruddin Mat serta Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Chung Chiew Ching dan ahli-ahli jawatankuasa penasihat yang lain.

Selepas mesyuarat semalam, Lee turut menyampaikan surat tawaran kepada dua pelajar sepenuh masa di kolej berkenaan iaitu Dayang Nizzatul Najihah Abang Haselan dari Miri untuk kursus SRD dan Kelvin Weng Bilong dari Long Semiyang, Ulu Baram untuk kursus SPI.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/26/bidang-pembaikan-saluran-paip-kumbahan-mempunyai-permintaan-tinggi/