BH ungguli Anugerah Ketua Menteri Sarawak

SIBU: Berita Harian (BH) terpilih sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Bahasa Melayu) pada Malam Kemuncak Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2019, di sini malam ini.

Pemilihan itu bersandarkan laporan khas oleh wartawan BH, Hardi Effendi dan Rudi Affendi Khalik mengenai usaha berterusan kerajaan negeri melalui Jabatan Muzium Sarawak, membongkar khazanah arkeologi di negeri ini.

Ia turut mendedahkan kekayaan khazanah arkeologi berharga, malah turut dijadikan sumber rujukan pakar arkeologi dunia.

Laporan sama turut dipilih sebagai pemenang kategori Anugerah Kewartawanan Kelestarian (Bahasa Melayu).

Tempat kedua kategori sama turut dikuasai wartawan BH, Muhd Amirul Faiz Ahmad melalui laporan bersiri bertajuk ‘Big 6 Mesti Kekang Lanun dan Hutan Dara Sarawak’ dan ‘Tanah Terbiar Jadi Sasaran Baharu’.

Wartawan Harian Metro, Mohd Rizal Abdullah memenangi tempat ketiga melalui laporan khas mengenai Sarawak yang menjadi destinasi migrasi burung dari seluruh dunia.

Mohd Rizal bersama Jurugambar Eksekutif New Straits Times Press (NSTP), Mohd Radzi Bujang turut memenangi tempat kedua Laporan Berita Terbaik (Bahasa Melayu) melalui laporan bertajuk ‘Wira Kamek’ yang memaparkan keberanian guru muda, Catherine Janet Tiwi, yang terkorban dalam insiden kebakaran kuarters guru Sekolah Kebangsaan Batu Bungan di Mulu, Miri.

Ketika kejadian, mendiang terkorban ketika cuba menyelamatkan rakan setugasnya yang terperangkap dalam kuarters berkenaan.

Radzi turut memenangi tempat kedua kategori Gambar Esei Terbaik melalui rencana mengenai warisan seni keringkam.

Seorang lagi wartawan Harian Metro, Ekhwan Haque Fazlul Haque memenangi tempat ketiga Anugerah Laporan Berita (Bahasa Melayu) melalui laporan bersiri mengenai insiden penculikan warga Malaysia di Danau Melikin, Balai Ringin oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang mendapat perhatian pemimpin kedua-dua negara.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Dalam perkembangan berkaitan, TV3 memenangi tempat pertama Anugerah Kewartawanan Ekonomi Digital melalui laporan bertajuk ‘PU1M - Bina Asas Pengalaman Digital Luar Bandar’ oleh wartawannya, Adib Othman dan jurukamera, Abu Zaidi Abu Bakar.

Adib turut memenangi tempat kedua Anugerah Kewartawanan Penyiaran (Perniagaan dan Ekonomi) melalui laporan ‘Borneo Fashion Week 2018 - Platform Terbaik Ketengah Bakat Fesyen Dari Borneo’.

Wartawan TV3, Kadir Edisson pula memenangi Anugerah Kewartawanan Penyiaran Kelestarian melalui laporan bertajuk ‘GTL: Letak Nama Sarawak Di Perdana Dunia’.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/621506/bh-ungguli-anugerah-ketua-menteri-sarawak