Berubah agar lebih maju: Dennis

Penan harus keluar dari kepompong hidup lama, utamakan pendidikan

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Masyarakat Penan harus mengubah cara kehidupan supaya lebih maju ke depan setanding masyarakat lain, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Beliau yakin masyarakat Penan khususnya generasi muda tidak mahu lagi harus hidup berpindah-randah dan bergantung kepada hidupan hutan.

Katanya, inilah masanya untuk komuniti itu keluar dan berubah gaya hidup sebelum ini hanya bergantung kepada hasil hutan.

“Keluar daripada kepompong hidup lama kerana ia satu-staunya cara untuk berubah supaya maju seperti masyarakat lain,” katanya.

Menurut Dennis, Penan perlu belajar daripada orang luar melalui interaksi serta memberi penekanan kepentingan terhadap pendidikan.

“Kalau anda semua tidak mahu keluar dari kawasan pedalaman dan cuba cara hidup luar, macam mana hendak berinteraksi dengan masyarakat luar?

“Oleh itu, anda semua harus keluar daripada hidup sekarang. Hidup baharu yang mementingkan pendidikan kerana ia antara kunci utama kepada perubahan,” katanya.

Dennis berkata demikian dalam majlis menyampaikan sumbangan barangan keperluan daripada rombongan dari Hope Palace kepada 148 keluarga masyarakat Penan dan Kayan-Kenyah tinggal di pedalaman Long San, Baram Rabu lalu.

Rombongan ‘Charity Without Border’ yang disertai 234 sukarelawan berkenaan diketuai oleh Pengasas Hope Palace Kevin Wan dengan kerjasama Kelab 4 X 4 Bintulu, Sarawak Energy Berhad (SEB) serta sukarelawan dari sekitar Miri, Bintulu, Sibu, Limbang, Kuching dan Brunei Darussalam.

Jelasnya, komuniti lama tidak harus membenarkan generasi baharu bergantung kepada hasil hutan sebaliknya membiarkan mereka mendapatkan pendidikan.

Justeru, melalui program itu Dennis mengingatkan masyarakat Penan serta masyarakat lain supaya jangan menjadi malas dan tidak berusaha memajukan kehidupan sendiri.

Katanya, masyarakat tidak harus menunggu dan bergantung semata-mata kepada pemberian atau sumbangan pihak lain.

“Bantuan diberikan atau disumbangkan tersebut memang baik dan kita terima. Tetapi, itu tidak bermakna mereka akan sentiasa membantu kita.

“Jangan malas dan terlalu mengharapkan bantuan tetapi berusaha untuk kesejateraan keluarga sendiri,” ujarnya.

Dennis memuji usaha dilakukan rombongan terbabit atas pengorbanan masa, wang tunai dan tenaga diberikan dalam memberikan sumbangan dan melakukan kerja kebajikan tersebut.

Sementara itu, selain sumbangan barangan keperluan dan pakaian, program selama enam hari lima malam itu turut diselitkan pemeriksaan kesihatan dan gigi serta aktiviti memotong rambut untuk kanak-kanak lelaki.

Program secara konvoi oleh 90 kenderaan pacuan empat roda itu juga akan meneruskan perjalanan mereka untuk program yang sama ke Long Bangah dan Bario.

Hadir sama dalam majlis menyampaikan sumbangan terbabit ialah Temenggung Elizabeth Ding, Pemanca Paul Kallang dan Pengerusi Kelab 4 X 4 Bintulu Ting Sing Ung.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/11/berubah-agar-lebih-maju-dennis/