BERSIH 2.0 akan memantau PRN Sarawak

KUCHING: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengambil maklum pengumuman oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, pada minggu lepas bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan pada 11 April 2016.

Ia bermakna bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak akan berlangsung dalam masa terdekat.

Berikutan itu dalam kenyataan akhbarnya semalam, BERSIH 2.0 ingin mengumumkan bahawa BERSIH 2.0 dan NGO-NGO tempatan Sarawak telah berganding bahu untuk menubuhkan pasukan PEMANTAU Sarawak yang akan memantau pilihan raya Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Pemantauan pilihan raya merupakan salah satu usaha penting untuk memastikan pilihan raya Sarawak berlangsung dengan bersih dah adil.

“Melalui pemantauan, rakyat menjadi saksi untuk mencegah dan melaporkan penipuan atau kesalahan pilihan raya seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan gangguan terhadap proses pilihan raya.

“Laporan dan bukti yang diterima juga penting untuk tujuan tindakan mahkamah dan petisyen pilihan raya jika perlu.

“Proses pemantauan pilihan raya turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebuah proses penting yang menyumbang kepada pilihan raya yang lebih berintegriti, meningkatkan akauntabiliti dan mengembangkan demokrasi,” tambahnya.

BERSIH 2.0 dan PEMANTAU Sarawak telah mengenal pasti lima kawasan DUN yang akan dipantau.

Kawasan-kawasan tersebut dipilih kerana merupakan kerusi yang marginal dan berisiko tinggi untuk berlakunya salah laku pilihan raya.

Lima kawasan DUN yang akan dipantau pihaknya adalah Tasik Biru (Bau/Tondong/Serikin), Batu Kitang (Kuching/Arang/Kitang), Bawang Assan (Sibu/Rassau), Senadin (Miri/Kuala Baram/Riam) dan Telang Usan (Long Lama/Long San/Miri).

Kerja-kerja persiapan telah berlangsung sejak bulan Januari.

Setakat ini, BERSIH 2.0 dan PEMANTAU Sarawak telah melatih lebih daripada 50 pemantau di Sarawak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/06/bersih-2-0-akan-memantau-prn-sarawak/