Beri peluang Adenan terus menerajui S’wak

MIRI: Rakyat Sarawak harus memberi mandat kukuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus menerajui Sarawak dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurut pemerhati politik, Wan Zaid Syed Mohdzar ia membuka lebih besar peluang kepada Adenan untuk meneruskan usaha mentransformasi pembangunan Sarawak.

“Saya percaya dalam tempoh lima tahun akan datang akan banyak lagi perubahan terutama dalam soal kebajikan rakyat akan dapat direalisasi beliau,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau menarik perhatian bahawa sejak menjadi Ketua Menteri baharu, Adenan telah merencanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Sebagai rakyat Sarawak, kita harus memberi mandat besar untuk membolehkan beliau terus membawa pembangunan ke Sarawak khasnya di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Tambahnya, Adenan begitu fokus membawa pembangunan ke kawasan luar bandar Sarawak sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

Selain itu katanya, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah bekerjasama untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar negeri ini.

“Setiap undi harus diberikan kepada BN kerana BN boleh meneruskan agenda membangunkan kawasan luar bandar dalam tempoh yang panjang,” ujarnya.

Malah Adenan menurutnya juga diyakini mampu memimpin negeri ke satu tahap baharu dari segi pembangunan fizikal dan kesejahteraan masyarakat.

“Banyak perkara baik untuk rakyat telah diumum oleh Ketua Menteri dan telah mula mengambil tindakan walaupun hanya lebih setahun menerajui pucuk pimpinan negeri,” katanya.

Adenan juga bertegas dalam soal pembangunan dan ingin membawa perubahan secara berperingkat ke kawasan luar bandar agar rakyatnya tidak rasa tercicir.

“Saya percaya dan yakin rakyat Sarawak tidak akan rugi jika memberi ruang dan peluang kepada Adenan untuk terus memimpin Sarawak kerana dasarnya memberi manfaat secara keseluruhan,” jelasnya.

Sebelum ini, Wan Zain dalam wawancara Bernama TV berkata dasar yang dilaksanakan Adenan disenangi oleh rakyat Sarawak.

Sehubungan itu, populariti Adenan menerusi dasar yang dilaksanakannya semakin kukuh bahkan juga telah mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/27/beri-peluang-adenan-terus-menerajui-swak/