Beri Adenan mandat kukuh terus perjuang hak orang S’wak: Dr Rayong

Oleh Frankie Junau //

ENGKILILI: Pengundi harus memberi kepercayaan sekali lagi kepada semua calon Barisan Nasional (BN) di kawasan ditandingi untuk mandat yang kukuh kepada pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ini kerana pentadbiran Adenan sangat mengambil berat keperluan semua lapisan masyarakat terutama di luar bandar tanpa mengabaikan masyarakat bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada pemimpin terdahulu Adenan sudah melakar hampir 50 pencapaian yang semuanya sangat dekat di hati dan amat mengujakan rakyat.

“Bukan mahu memuja tetapi itulah hakikat akan pencapaian beliau sejak mentadbir negeri ini kira-kira dua tahun lalu… hingga kejayaan dan pencapaian beliau sangat dihargai dan dipuji rakan mahupun (parti) lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sirai Minggu, Marub Baruh di Engkilili semalam yang turut dihadiri Penghulu Inchang Anchih, Penghulu Gerang Ancheh, wakil Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Melo Agan, Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Engkilili Tuai Rumah Sibat Krutap, para kaunselor, tuai-tuai rumah serta hampir 300 tetamu.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat memberi Adenan sepenggal lagi untuk mengepalai negeri ini kerana banyak lagi pembangunan bakal dinikmati rakyat secara keseluruhannya.

“Dalam satu majlis di Betong semalam (kelmarin) Ketua Menteri meminta anda semua agar memberinya peluang mentadbir negeri ini memandangkan masih banyak agenda untuk rakyat belum tertunai, justeru adalah menjadi harapan saya agar anda semua bersama BN untuk membentuk kerajaan baharu kelak,” katanya.

Tambah Ketua Pemuda serta Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu lagi, Adenan begitu peka akan suara hati rakyat negeri ini dan telah berusaha keras mengangkat suara orang Sarawak di peringkat Pusat.

“Beliau mahu agar Sarawak tidak dianaktirikan oleh orang Semenanjung dan mahu apa yang ada di sana turut dinikmati di sini.

“Oleh itu beliau telah membincangkan penurunan kuasa autonomi dan ia mendapat maklum balas postif dan tinggal perbincangan mendapatkan 20 peratus royalti minyak yang kini masih berjalan dan menampakkan perkembangan positif.

“Malah negeri ini satu-satunya negeri di Malaysia bebas tol selepas pemansuhan tol jambatan di Miri, Sibu dan Kuching selain menghapuskan perkataan ‘lain-lain’ dalam borang rasmi kerajaan kepada Dayak, membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk penganut Kristian dan menyekat kemasukan golongan ektremis dari Semenanjung yang berniat mahu mengucar-kacirkan perpaduan kita di sini,” katanya.

Bercakap lanjut, Dr Rayong mahu agar pengundi tidak mensia-siakan undi mereka dengan memangkah calon pembangkang yang tidak membawa sebarang kebaikan terutama masyarakat luar bandar.

“Pembangkang memang bijak memainkan emosi dan kata-kata mereka sangat manis didengari namun hakikatnya hujah mereka kosong dan tidak boleh diharapkan membawa pembangunan terutama di luar bandar.

“Belajar dan dengarilah nasib DUN lain yang dikuasai mereka…lima tahun ketinggalan dan tanpa pembangunan. Yang rugi ialah rakyat sendiri kerana kita masih mendambakan pembangunan yang hanya boleh direalisasikan oleh BN sahaja.

“Maka itu, saya sekali lagi menyeru kepada pengundi khususnya di konstituensi Engkilili agar terus bersama saya yang akan mempertahankan DUN ini untuk BN…serta membentuk pasukan yang kuat bersama Adenan,” katanya dan menasihati mereka yang tersalah langkah dan menyokong pembangkang sebelum ini agar kembali ke pangkal jalan dan bersama-sama membentuk kerajaan BN yang utuh pada masa depan.

Pada majlis sama, Dr Rayong mengumumkan pemberian geran MRP kepada beberapa ahli Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita dan sekolah di sekitar Engkilili bernilai RM91,000 dengan JKKK Marub Baruh menerima RM30,000 manakala Biro Wanita mendapat RM5,000.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/21/beri-adenan-mandat-kukuh-terus-perjuang-hak-orang-swak-dr-rayong/