Benar syarikat dapat kelulusan guna pelabuhan untuk import, eksport

KUALA LUMPUR: Pengendali pelabuhan di seluruh negara diarah membenarkan mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan untuk meneruskan aktiviti import dan eksport, berkuat kuasa esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi sepenuhnya daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri itu, bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya, ia antara lain merangkumi aspek penjarakan sosial ketika operasi dan menitikberatkan kepentingan menjaga kebersihan dalam kalangan pekerja.

"Tindakan (kelulusan beroperasi) ini selari keputusan kerajaan hari ini yang bersetuju supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan, serta kembali bangkit selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Ia seperti cadangan MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi menyelamatkan pekerjaan, mengembalikan pendapatan negara dan memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, syarat mengikut SOP ketat itu turut dikenakan kepada mereka yang terbabit aktiviti import dan eksport bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting serta tidak penting, di pelabuhan yang dibenarkan beroperasi selama 24 jam sehari.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik COVID-19 untuk menentukan sama ada wujud keperluan untuk membenarkan penyambungan semula semua sektor ekonomi dan subsektor lain mengikut ketetapan MKN,” katanya.
Kementerian Pengangkutan membenarkan kerja pelepasan kargo di pelabuhan utama untuk mengelak kesesakan. - Foto NSTP

Beliau berkata, baru-baru ini, kementerian membenarkan kerja pelepasan kargo di pelabuhan utama negara bagi fasa keempat, bermula 20 hingga 23 April lalu.

"Kerja pelepasan kargo di pelabuhan terbabit seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu, Labuan dan pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah serta Sarawak berjaya mengalihkan kontena yang sesak dengan cepat mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi prestasi pengendalian kontena import, ada beberapa pelabuhan mencatatkan prestasi pengendalian baik dan lancar berdasarkan kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena antara 20 hingga 50 peratus seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan.

“Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus, sementara Pelabuhan Barat serta Tanjung Bruas ialah pada tahap melebihi 70 peratus,” katanya.

Bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Ka Siong menjelaskan Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan bawah paras 50 peratus.

Beliau berkata, Pelabuhan Barat berada antara 50 hingga 60 peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus.

"Berdasarkan pencapaian, wujud perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport di antara pelabuhan berkemungkinan dipengaruhi faktor jumlah pengeluaran ‘output’ daripada kilang-kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang PKP.

“Kementerian akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan yang mempengaruhi syarikat dalam tempoh PKP dan akan mengesyorkan dasar bagi mengurangkan implikasi ekonomi,” katanya.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/682869/benar-syarikat-dapat-kelulusan-guna-pelabuhan-untuk-import-eksport