Belia Cina berpeluang suarakan isu kepada Adenan Sabtu ini

PERKASAKAN BELIA: Len (tengah) bersama CEO TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed (tiga kiri) pada sidang media di Kuching, semalam.

PERKASAKAN BELIA: Len (tengah) bersama CEO TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed (tiga kiri) pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Golongan belia Cina berpeluang menyuarakan isu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menerusi satu forum yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu ini.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh, ia merupakan landasan bagi mendekati belia Cina sekali gus membolehkan suara mereka lebih kedengaran.

“Dengan adanya program seperti ini, pelbagai isu yang membelenggu belia kita sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial atau apa sahaja isu yang mereka ingin sampaikan kepada Ketua Menteri boleh disampaikan.

“Ia merupakan landasan baik untuk membincangkan isu yang perlu ditangani seperti pendidikan, ekonomi dan sosial bagi dibincangkan bersama agar dapat diserapkan dalam polisi kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya di sini, semalam.

Len yang juga pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) berkata, program itu dijangka akan menyaksikan kehadiran 2,000 belia dari sekitar bandar raya ini, Serian dan Kota Samarahan.

Program itu jelasnya, merupakan kesinambungan Forum Belia TEGAS yang sebelum ini diadakan di Kuching, Miri, Mukah yang masing-masing membabitkan 9,000 belia yang menyaksikan kurang penyertaan daripada kaum Cina.

Oleh itu katanya, Parlimen Belia Malaysia memohon agar sebuah lagi program dianjurkan khas untuk golongan belia Cina bagi membolehkan suara-suara mereka kedengaran oleh Ketua Menteri.

Beliau berkata perkataan ‘Bumiputera’ dalam TEGAS berkemungkinan penyebab kaum Cina tidak menyertai program-program dianjurkan sebelum ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar orang ramai tidak lagi keliru kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah untuk semua.

Ketua Menteri dalam forum ‘Sarawak Sebagai Negeri Pesat Membangunan Dengan Ekonomi Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030’ itu katanya, bukan sahaja mengupayakan belia sebagai pengubah cara pembangunan negeri pada masa depan, tetapi mengemas kini perkembangan mutakhir dalam pembangunan pendidikan, sosial dan ekonomi Sarawak.

Program selama sehari itu katanya, akan menyaksikan individu berjaya dalam bidang masing-masing seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Talk Jason Lo dan CEO Chattime Bryan Loo serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong menyampaikan ceramah.

Forum itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan-persembahan menghiburkan oleh belia tempatan khususnya daripada pemenang-pemenang Youth Got Skill 2016, permainan oleh DJ dan kru Hitz FM, selain pameran-pameran oleh agensi serta institusi latihan dan pendidikan.

Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan turut membuka ruang pameran bagi memberi maklumat mengenai pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kepada belia.

Dalam perkembangan lain, Len Talif yang juga Menteri Muda Alam Sekitar berkata, sebuah program perlu dirangka bagi memperkasakan lepasan sekolah menengah yang dianggarkan seramai 40,000 setahun di Sarawak.

Angka itu katanya, merupakan satu jumlah yang besar dengan jumlah populasi negeri ini yang kira-kira 2.8 juta.

“Mereka merupakan aset penting bagi kita dan kita perlu lihat apa yang kita boleh lakukan khasnya dalam pendidikan, kerja sosial dan program sukarelawan atau ia akan menjurus kepada masalah sosial jika tidak ditangani di peringkat awal,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/06/belia-cina-berpeluang-suarakan-isu-kepada-adenan-sabtu-ini/