Belanjawan Sarawak utamakan luar bandar

MIRI: Parti Pribumi Bersatu Sarawak (PPBS) menyifatkan Belanjawan Sarawak 2020 sebagai seimbang dan bakal merancakkan pembangunan luar bandar Sarawak yang sudah jauh tertinggal.

Pengerusinya, Jaziri Alkaf Suffian, berkata walau pun berada dalam ‘blok’ politik berbeza, parti itu mengambil pendekatan menyokong setiap usaha untuk memajukan kawasan luar bandar.

PPBM Sarawak, katanya, menyambut baik pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Isnin lalu.

“Peruntukan Pembangunan RM6.597 bilion berbanding peruntukan Pengurusan RM3.294 bilion adalah seimbang.

“Peruntukan yang lebih mengutamakan pembangunan berbanding pengurusan adalah belanjawan yang sihat, kerana pembangunan membabitkan infrastruktur akan meningkatkan produktiviti serta merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penekanan terhadap jurang pembangunan bandar dan luar bandar juga diberi keutamaan oleh kerajaan negeri di mana RM4.141 bilion iaitu 63 peratus daripada peruntukan pembangunan dikhususkan untuk kawasan luar bandar.

Beliau berkata, kawasan luar bandar di Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan asas seperti bekalan elektrik, jalan perhubungan dan bekalan air bersih.

“Masalah berkenaan masih membelenggu penduduk luar bandar walau pun kita sudah memasuki era teknologi digital,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/11/625517/belanjawan-sarawak-utamakan-luar-bandar