Bekalan ayam mencukupi

KUCHING: Bekalan ayam di Sarawak dijamin mencukupi untuk menampung keperluan sambutan Aidilfitri yang dijangka disambut Ahad ini dan Hari Gawai yang akan disambut 1 Jun depan.

Jaminan itu diberikan penternak ketika lawatan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan ke ladang ternakan ayam di Jalan Kuching-Serian, semalam.

Stanley berkata, hasil lawatan itu beliau mendapati bekalan dijangka tidak akan menghadapi masalah kerana purata pengeluaran tiga ladang ternak utama ialah sebanyak 57,000 ekor ayam sehari.

Beliau berkata, purata pengeluaran ladang ternak K&L Farming Industries Sdn Bhd ialah sebanyak 14,000 ekor ayam sehari, QL Livestock Farming Sdn Bhd pula sebanyak 8,000 ekor manakala Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd sebanyak 35 ekor sehari.

“Hasil lawatan pemeriksaan itu, kita mendapati jumlah pengeluaran ayam mampu menampung keperluan penduduk Sarawak dari Kuching hinggalah ke Lawas pada musim perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Stanley berkata, berdasarkan kutipan harga Bahagian Majlis Harga Negara (BHBN) KPDNHEP Sarawak mendapati harga jualan ayam bersih standard satu kilogram bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 ialah antara RM6.90 hingga RM8.50 sekilo.

“Harga itu kekal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan saling bekerjasama dalam memastikan bekalan makanan keperluan harian mencukupi dalam pasaran dan pada harga yang berpatutan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bekalan barang keperluan serta perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga menaikkan harga barang sesuka hati supaya membuat aduan melalui talian hotline KPDNHEP di 1-800-886-800 atau portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran.

“Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka mulai jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan,” katanya.

Aduan bagi kawasan Kuching boleh dibuat di talian 082-466052, Sri Aman (083-323836), Sarikei (084-657751), Sibu (084-3292020, Kapit (084-799678), Bintulu (086-332176), Miri (085-412862), Limbang (085-217414), Mukah (084-872726) dan Lawas (085-283650).

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/05/690896/bekalan-ayam-mencukupi

© Copyright 2006-2020 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.