Beberapa strategi jangka panjang dirancang atasi jerebu

KUCHING: Kerajaan memandang serius masalah jerebu yang melanda negeri ini dengan merancang beberapa strategi jangka panjang dalam usaha berkenaan.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, sehubungan itu agensi kerajaan berkaitan telah merangka Pelan Tindakan Pengurusan Bersepadu dan Penguatkuasaan Pembakaran Terbuka di Sarawak.

Malahan kata beliau antara lain sebelum ini kerajaan telah meminda semula Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 bagi mensyaratkan aktiviti pertanian komersial secara kecilan atau estet mini dalam kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Selain itu, setiap permit pembakaran terbuka perlu diperoleh daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

“Kita juga akan terus mencari kaedah terbaik bagi mengurangkan kes kebakaran terbuka tanah gambut khasnya di Baram dan kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan

Datuk Sebastian Ting (BN-Piasau) mengenai langkah jangka panjang di Sarawak khasnya di Miri pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Tambah Len Talif, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelaksanaan SOP Pencegahan dan Pemadaman Api telah diadakan antara NREB dan beberapa pihak.

Ia termasuk bersama Naim Land Sdn Bhd, Shin Yang Forestry Sdn Bhd, Woodman Group of Companies dan Pantai Bayu Indah Sdn Bhd yang diadakan pada 9 Ogos 2016 di Miri.

“Bagi bandar Miri, masalah jerebu adalah berpunca daripada kebakaran tanah gambut di kawasan Baram dan pada Februari hingga Mac 2016, kawasan seluas 1, 888 hektar tanah gambut telah terbakar.

“Ia menyebabkan keadaan jerebu di kawasan Miri dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 321 (kualiti udara di tahap bahaya) pada 22 Februari 2016,” katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi dan mengurangkan masaalah jerebu beberapa langkah telah dan sedangkan dilaksanakan.

Antaranya membina menara tinjau untuk memantau kebakaran tanah gambut dan pembakaran haram.

Selain itu membina beberapa ‘check dam’ untuk mengawal paras air dan telaga tiub untuk sumber air bagi operasi pemadaman.

Ia termasuk mensyaratkan syarikat yang memiliki tanah berskala besar yang belum dibangunkan untuk menyediakan SOP bagi pencegahan kebakaran tanah gambut bagi memastikan kebakaran tanah gambut tidak berulang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/23/beberapa-strategi-jangka-panjang-dirancang-atasi-jerebu/