Bazar Gawai Dayak mampu jadi produk tarik pelancong

Masyarakat berpeluang berniaga, tambah pendapatan

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Penganjuran Bazar Gawai Dayak di sini dilihat bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada masyarakat setempat terlibat dalam bidang keusahawanan malah ia mampu dijadi acara boleh menarik pelancong datang ke Miri.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata, penganjuran sedemikian akan menarik pelancong luar untuk bersama merasai pelbagai perayaan disambut di negeri ini.

“Bazar ini boleh dikatakan sebagai salah satu pesta membolehkan pelancong luar untuk bersama kita merasai sambutan Gawai, selain ia memberi peluang kepada masyarakat mempelajari bidang perniagaan untuk menambah pendapat bagi kegunaan Gawai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bazar Gawai Dayak 2016 anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) dengan kerjasama Permy Mall Miri dan Majlis Bandaraya Miri (MBM), bertempat di perkarangan parkir Permy Mall Miri malam kelmarin.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Miri Abdul Aziz Yusuf, Pengurus Kompleks Permy Mall Miri Thaddeus Sia dan Pengerusi GADS Vicky Gulin.

Menurut Lee, acara itu menarik pelancong untuk datang akan membantu memberi keuntungan dan meningkatkan ekonomi di sini.

“Ini adalah salah satu acara yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar untuk ke Miri.

“Ia sekali gus akan memberi keuntungan dan memperkukuh ekonomi rakyat Miri,” ujarnya.

Lee yang juga ADUN Senadin, memuji usaha yang dilaksana oleh GADS dan mahu masyarakat khususnya golongan belia untuk terus terlibat dalam aktiviti seperti keusahawanan terbabit.

“Usaha ditunjuk ini patut dicontohi oleh anak-anak muda dalam menceburi bidang keusahawanan yang membantu meningkat pendapatan masing-masing.

“Melalui penglibatan perniagaan secara kecil-kecilan, sudah pasti anda akan mampu untuk perniagaan yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Lee turut melancarkan tabung Bazar Gawai Dayak 2017 untuk kegunaan penganjuran yang sama pada tahun hadapan.

Selain itu, Lee juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 untuk kegunaan aktiviti GADS, dan menyampaikan sijil kepada para peserta yang terlibat dalam Bazar Gawai Dayak 2016.

Sementara itu, Bazar Gawai Dayak 2016 mula beroperasi pada 10 Mei lalu sehingga 25 Mei ini ari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai acara disusun untuk para pengunjung pada sebelah malam.

Terdapat 80 gerai mengambil bahagian dengan sebahagian besar gerai terbabit menjual makanan termasuk masakan tradisi masyarakat Dayak dan barangan cendermata serta lain-lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/21/bazar-gawai-dayak-mampu-jadi-produk-tarik-pelancong/