Bazar Gawai Dayak jana pendapatan peniaga Iban

Penganjurannya satu langkah bijak, berani bawa masyarakat Dayak terlibat dalam dunia perniagaan

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Usaha Miri Unity Chapter (MUC) menganjur Bazar Gawai Dayak merupakan satu langkah bijak dan berani dalam membawa masyarakat Dayak terlibat dalam dunia perniagaan termasuk merebut peluang berniaga atau menjual produk sempena sambutan Hari Gawai Dayak.

Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata, jika selama ini setiap kali tiba musim perayaan sama ada Tahun Baharu Cina atau Hari Raya Aidilfitri, ada bazar menjual pelbagai barangan dan keperluan musim perayaan dibuka dan buat julung kalinya pula, bazar untuk Hari Gawai Dayak diadakan.

Langkah diambil oleh MUC tepat pada masanya. Ia satu titik permulaan bagi langkah berani untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu seperti MUC dan ia amat membanggakan saya.

Malah kini, dengan adanya bazar ini, peniaga dan masyarakat Iban yang mahu berjinak dengan dunia perniagaan boleh mengambil peluang disediakan.

Pada masa sama, ia dapat membantu mereka mencari pendapatan sampingan untuk menyambut perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini, jelas beliau lagi.

Dr Teo yang juga Ketua PKR Miri, memberitahu demikian kepada Utusan Borneo di sini semalam, selepas mengadakan lawatan ke tapak Bazar Gawai Dayak Miri yang dibuka di kawasan letak kereta kompleks beli-belah Permymall di Tudan, dekat sini, semalam.

Bazar ini merupakan bazar pertama seumpamanya diadakan di Miri dan mungkin juga di Sarawak, berlangsung dari 9 Mei lalu hingga 23 Mei ini.

Dr Teo berkata bazar berjaya menarik tumpuan ramai termasuk pengunjung dari luar Miri.

Ia diharap akan diteruskan sebagai acara tahunan oleh MUC, sekali gus menjadi contoh kepada bahagian lain di negeri ini, katanya.

Beliau berharap penganjuran bazar ini juga dapat membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyokong dan berusaha menganjurkanya dengan menjalin kerjasama dengan mana-mana NGO lain khususnya kaum Dayak.

Langkah MUC ini wajar dipuji dan diberi galakan dengan membantu mereka dengan apa jua cara kerana percubaan berani ini membuktikan NGO Dayak kini semakin sedar dan matang peranan mereka dalam membantu memajukan ekonomi kaum Dayak, jelasnya.

Sebagai membuktikan sokongannya, Dr Teo turut menyampai sumbangan peribadi untuk Tabung Bazar Gawai Dayak kepada jawatankuasa penganjur pada akhir lawatannya semalam.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/15/bazar-gawai-dayak-jana-pendapatan-peniaga-iban/