Bazar Gawai Dayak di Kuching pada 30 April-22 Mei 2016

KUCHING: Buat julung kalinya Bazar Gawai Dayak anjuran Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) akan diadakan di Kuching iaitu di Bandar Baharu MJC pada 30 April hingga 22 Mei 2016.

Bazar yang bakal mempamerkan pelbagai gerai makanan, minuman, persembahan kebudayaan dan banyak lagi itu, sebelum ini pernah diadakan di Miri dan mendapat sambutan memberangsangkan.

Timbalan Presiden I GADS Rogies Meringgai berkata, program bakal dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada 14 Mei 2016 di tapak MJC sekitar jam 10 pagi.

“Sebelum itu majlis makan malam pra pelancaran diadakan pada 5 Mac 2016 di Pusat Persatuan Gereja-Gereja manakala 22 Mei pula diadakan satu perarakan sambutan Gawai.

“Di samping di Kuching, program yang sama diadakan di Miri pada masa yang sama bagi memeriahkan program,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan terhadap Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Rogies dianggarkan lebih 200 gerai akan turut serta pada acara kali ini dan orang ramai khasnya Dayak dipelawa datang bersama bagi memeriahkan acara.

Beliau berkata pihaknya merancang memperluaskan program dengan mengadakannya di semua bahagian pada masa akan datang.

Sementara itu Mawan pada majlis yang sama mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada GADS untuk menganjurkan program bazar itu.

Jelasnya ia merupakan satu acara yang amat signifikan bagi mengumpulkan orang ramai terutama kaum Dayak dengan berkonsepkan bazar.

“Ia acara yang kita mahukan kerana melibatkan pelbagai lapisan usia termasuk generasi muda dan ia juga menyumbang kepada ekonomi serta perniagaan kepada negeri kita,” katanya.

Mawan yang juga presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) berharap GADS juga merupakan entiti Dayak yang baharu untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak lain.

“Saya percaya ia menyediakan peluang kepada semua untuk bekerjasama dan mellihat kepada entiti mereka ini saya berharap juga mereka akan membawa lebih banyak penyertaan untuk menyumbang kepada ekonomi dalam acara ini,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/23/bazar-gawai-dayak-di-kuching-pada-30-april-22-mei-2016/