Bawa dadah dalam bagasi, dua ditahan di KLIA2

SEPANG: Tindakan nekad dua lelaki membawa sejumlah dadah jenis ketamin dan syabu dianggarkan bernilai RM204,200 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam, tidak berhasil apabila mereka ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, berkata dalam kes pertama dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun, ditahan sekitar Balai Pelepasan sebelum menaiki penerbangan ke Miri, oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu mendapati sebungkus bahan dipercayai dadah jenis ketamin seberat 1.04 kilogram, yang dianggarkan bernilai RM57,200 dalam beg bimbit dibawanya.

Katanya, dadah berkenaan ditemui dalam bungkusan teh Cina bertulis Tie Guan Yin.

"Turut ditemui pada lelaki itu sejumlah wang tunai RM9,000 pada lelaki berkenaan, dipercayai wang upah.

"Pada hari sama, kira-kira jam 12 tengah hari pasukan sama yang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bagasi lelaki berusia 28 tahun itu yang sudah dimasukkan ke ruang kargo penerbangan yang akan dinaikinya, dan menemui empat bungkusan teh Cina bertulis Jin Xuan Tea, yang mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 4.2 kilogram serta dianggarkan bernilai RM147,000.

“Kedua-dua mereka dipercayai tiba dari Sabah beberapa hari lalu dan semalam sebelum cuba berlepas ke Miri, Sarawak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Imran berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja serta tidak mempunyai rekod lampau, dipercayai keldai dadah dan juga ahli sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 17 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan pihaknya akan meneruskan usaha untuk mengesan saki baki sindiket terbabit.

"Sindiket ini dipercayai mendapat bekalan di sekitar Lembah Klang dan cuba membawa dadah berkenaan ke Sarawak berikutan harga jualannya yang lebih tinggi di negeri itu berbanding jika dijual di sini.

"Pemerhatian kami mendapati, setiap sekilo dadah berkenaan dijual kira-kira RM30,000 di sini namun boleh mencecah harga RM50,000 di Sarawak.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/09/730173/bawa-dadah-dalam-bagasi-dua-ditahan-di-klia2

© Copyright 2006-2020 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.