Bas langgar lori sampah, 9 cedera

ROSAK
TERUK: Keadaan bas ekspres selepas merempuh lori pengangkut sampah.

ROSAK TERUK: Keadaan bas ekspres selepas merempuh lori pengangkut sampah.

BINTANGOR: Sembilan penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dengan sebuah lori pengangkut sampah di Batu 6, Jalan Kelupu dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah (KPD) Bintangor DSP Mohamad Hafipi Mohd Salim berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 9.10 malam.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, bas ekspres membawa 40 penumpang bersama dua pemandu sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Miri.

“Sementara itu, lori pengangkut sampah bersama seorang pemandu dan tiga pekerja sedang memunggah sampah daripada tong sampah ke lori di laluan sama menuju ke arah Sibu.

“Rempuhan dipercayai berlaku kerana pemandu bas tidak nampak lori pengangkut sampah dari jarak jauh. Apabila sudah terlalu dekat, pemandu bas gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang lori,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagi pemandu dan pekerja lori pengangkut sampah pula, mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/14/bas-langgar-lori-sampah-9-cedera/