Banjir landa Kapit, Miri

KUCHING: Beberapa kawasan rendah di Kapit dan Miri dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak kelmarin.

Paras air sungai di kawasan terbabit turut naik mendadak ekoran pertembungan air pasang besar dan hujan di kawasan hulu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pemantauan sehingga jam 6.30 pagi ini mendapati paras air terus naik di beberapa tempat.

Beliau berkata, berikutan keadaan semakin merbahaya, pemindahan penduduk Rumah Panjang Philimon dilakukan ke Nanga Bawai, Kapit, namun jumlah penduduk yang dipindahkan belum dikenal pasti.

"Pemindahan penduduk ke Sekolah Kebangsaan Nanga Bawai itu diarahkan oleh Tuai Rumah (Ketua Kampung) apabila air semakin naik pagi ini.

“Rumah panjang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kapit mempunyai 23 pintu dengan penduduk seramai 126 orang,” katanya.

Turut terjejas Kampung Baru Kapit apabila paras air naik sehingga 1.5 meter.

"Kebanyakan rumah di kawasan itu bertiang, namun paras air yang semakin naik di bawah rumah dikhuatiri berisiko kepada penduduk.

“Justeru arahan berpindah ke rumah saudara mara yang lebih tinggi dikeluarkan kepada penduduk di Kampung Baru di Kapit malam tadi,” katanya.

Lokasi lain yang dilanda banjir di Kapit ialah Kampung Muhibbah dengan 16 rumah di kampung berkenaan terjejas.

“Paras air di kawasan itu didapati semakin naik pagi ini, namun pemindahan penduduk belum dijalankan,” katanya.

Sementara itu di Miri, tiga kawasan dilaporkan terjejas iaitu Long Bemang dan Long Loyang di hulu Baram serta Kampung Stapang di Marudi.

“Paras air di tiga kawasan itu juga menunjukkan peningkatan,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/09/731137/banjir-landa-kapit-miri

© Copyright 2006-2020 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.