Banjir kilat landa Bintulu

BINTULU: Banjir kilat melanda beberapa kawasan rendah di bahagian ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Tinjauan BH mendapati antara kawasan terjejas teruk ialah Jalan Sibiyu yang dinaiki air hingga 0.5 meter.

Difahamkan, jalan terbabit dilanda banjir kilat sejak jam 4 pagi akibat limpahan air parit yang tidak dapat menampung curahan hujan.

Seorang pengguna jalan raya yang enggan dikenali berkata, kejadian berkenaan bagaimanapun sudah dilaporkan kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk tindakan lanjut.

Kawasan lain yang juga terjejas dengan banjir kilat, pagi tadi, termasuk jalan menuju ke Pusat Komersial Medan Jaya dan penempatan penduduk di Batu 8 Jalan Bintulu-Miri.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, berharap BDA dapat menyelesaikan masalah sistem perparitan di bahagian ini dengan segera.

Beliau menegaskan, ia penting bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang berlaku setiap kali selepas hujan lebat.

“BDA mesti melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah banjir kilat. Ia adalah masalah utama yang menyusahkan penduduk di bahagian ini sejak sekian lama,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata, musim hujan sudah tiba, justeru banyak lagi kawasan sekitar Bintulu akan dilanda banjir kilat sekiranya masalah itu tidak diselesaikan BDA secepat mungkin.

Katanya, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada BDA dan kontraktor dilantik badan pelaksana pembangunan itu untuk mengorek serta memperbaiki sistem perparitan di Bandar Bintulu, sekali gus mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku setiap tahun.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/615373/banjir-kilat-landa-bintulu