Azab terpaksa hidu bau busuk, guna tandas kotor

Masalah dihadapi warga SK South dipercayai berpunca daripada paip utama tangki septik tersumbat

// Oleh Steve Annuar //

PERJELAS: Majakin (empat kanan) menerangkan kepada Sebastian (tiga kiri)
masalah tanah mendap di tapak septik utama ditemani Norleda (dua kiri) semasa
kunjungan di SK South semalam.

PERJELAS: Majakin (empat kanan) menerangkan kepada Sebastian (tiga kiri) masalah tanah mendap di tapak septik utama ditemani Norleda (dua kiri) semasa kunjungan di SK South semalam.

MIRI: Murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) South terpaksa menghidu bau busuk oleh limpahan air najis termasuk menggunakan tandas kotor kerana paip utama tangki septik tersumbat.

Guru Besar, Norleda Sa’ait berkata, masalah bertambah apabila sukar membersih dan menyiram air tandas bertakung selepas setiap kali menggunakannya.

“Limpahan cecair berwarna hitam keluar dari penutup tangki septik kecil terletak sekitar sekolah. Limpahan paling banyak berhampiran taman permainan kanak-kanak prasekolah dan pendidikan khas,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, masalah bau busuk serius sejak lapan bulan lalu menimbul suasana ketidakselesaan kepada warga sekolah.

“Kita telah meminta syarikat kontraktor Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengosongkan tangki septik utama kerana khuatir ia telah penuh tetapi didapati kering.

“Pemeriksaan mendapati saluran utama ke tangki ini tersumbat menyebabkan berlaku limpahan dari tangki lain, “ jelasnya semalam.

Menurut Norleda, perbelanjaan besar diperlukan sekiranya sekolah diminta menukar semua sistem pembetungan bagi mengatasi sepenuhnya masalah itu.

Norleda menjelaskan, selain paip tersumbat, kita juga berdepan masalah tanah mendap di tapak septik utama dan tapak sekarang tidak begitu kukuh.

Dibina pada 2002, sekolah mempunyai sembilan buah tandas termasuk tandas guru dan kini hanya tujuh digunakan sementara dua lagi ditutup.

Tandas dikongsi bersama 448 murid satu sesi persekolahan.

Norleda berkata, pihak sekolah akan berhubung dengan kontraktor MBM membincangkan sepenuhnya masalah itu termasuk jumlah bajet.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting ketika dibawa melawat sekolah berkenaan semalam berkata, masalah limpahan dan tanah mendap harus diambil perhatian terutamanya aspek keselamatan pelajar.

“Kita harus meminta kerjasama dari agensi berkaitan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh, “ jelas Ting.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua PIBG, Majakin Jilin dan bekas Guru Besar, Salbiah Saufi.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/12/azab-terpaksa-hidu-bau-busuk-guna-tandas-kotor/