Awg Tengah kesal kes pembunuhan Bill Kayong

KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kesal dengan insiden tembak yang meragut nyawa seorang aktivis di Miri, Bill Kayong selain menyifatkan kejadian itu tidak harus berlaku di negeri ini.

Menurutnya, insiden itu mencemari nama Sarawak yang terkenal sebuah negeri aman dan harmoni serta mempunyai toleransi tinggi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Apa berlaku di Miri (insiden tembak) sehingga seorang terkorban disebabkan oleh perbuatan orang hilang pertimbangan, ini tidak sepatutnya berlaku.

“Adalah menjadi nilai dalam hidup kita saling membantu antara satu sama lain dalam masa senang mahupun masa susah, itulah kita Sarawak tetapi tiba-tiba perkara sebegini berlaku seperti masyarakat mafia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian derma tahunan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di Dewan Seminar, Wisma Sumber Alam di sini semalam.

Sehubungan itu, Awang Tengah berkata, sudah menjadi tanggungjawab rakyat di negeri ini untuk memastikan nilai baik dalam hidup masya-rakat berbilang kaum dan agama agar insiden tersebut tidak menjadi fenomena dalam kehidupan di Sarawak.

“Apa berlaku ini disebabkan sudah tiada lagi kewarasan sebagai manusia, tidak ada lagi keseimbangan dalam pemikiran dan inilah bentuk masyarakat kita tidak mahu. Jika kita tidak kawal ia akan merosakkan masyarakat kita,” tegasnya lagi.

Dalam insiden pembunuhan itu, Bill juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri ditembak mati sekitar jam 8.30 pagi Selasa lalu dari jarak dekat individu tidak dikenali ketika berhenti di lorong tengah menghala ke Permyjaya di lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersil, Tudan semasa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux.

Mengenai majlis itu, Awang Tengah juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan berkata, meskipun pendapatan PUSAKA dan anak syarikatnya menurun pada tahun ini, pihaknya tetap meneruskan aktiviti kebajikan di negeri ini.

“Justeru, saya berharap sumbangan ini akan dapat membantu pertubuhan dan organisasi untuk menjalankan aktiviti dan juga membantu mereka yang memerlukan di negeri ini,” ujarnya.

Dalam majlis itu, seramai 59 pertubuhan kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menerima sumba-ngan kesemuanya berjumlah RM266,000.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, Ahli Lembaga Pengurusan Pusaka Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Datuk Yusuf Hadi, Pengurus Besar Peng-urusan PUSAKA Datu Sarudu Hoklai dan tetamu kehormat lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/25/awg-tengah-kesal-kes-pembunuhan-bill-kayong/