APMM terus banteras pencerobohan nelayan asing

Originally published at: http://miricommunity.net/2015/09/02/apmm-terus-banteras-pencerobohan-nelayan-asing/

Oleh Sandy Mark Luna//

OPS ORION: Ismaili menunjukkan salah satu kawasan pemantauan APMM.

OPS ORION: Ismaili menunjukkan salah satu kawasan pemantauan APMM.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak telah menahan 32 nelayan warga asing dalam empat kes berasingan membabitkan tiga bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan Sarawak.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, tangkapan membabitkan warga Vietnam dan Thailand itu dibuat dalam tempoh 28 hingga 31 Ogos dalam Ops Orion yang sedang giat dilaksanakan.

“Sebuah vesel nelayan asing dikesan menceroboh perairan Sarawak pada kedudukan lebih kurang 109 batu nautika dari Tanjung Po oleh sebuah kapal maritim yang sedang melakukan rondaan pada malam 29 Ogos lepas.

“Setelah dihampiri, vesel itu telah cuba melarikan diri dengan menutup semua lampunya namun berjaya dipintas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kapal KM Marlin di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas di sini, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel nelayan asing itu dipercayai telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

Dalam kes itu katanya, sembilan orang nelayan warganegara asing berumur dalam lingkungan 15 hingga 53 tahun ditahan reman.

Kes itu kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan jika didapati bersalah nelayan asing itu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta manakala vesel mereka akan dirampas.

Dalam dua lagi kes berasingan yang melibatkan dua vesel nelayan tempatan, tujuh nelayan asing ditahan kerana mereka tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk bekerja di atas vesel tersebut.

Kedua-dua vesel nelayan itu ditahan masing-masing di lokasi lebih kurang 69 batu nautika dari Tanjung Sirik pada 28 Ogos setelah pemeriksaan rutin dibuat terhadap vesel tersebut.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Kesalahan sama turut direkodkan di Tanjung Payung, dekat Miri, membabitkan enam warga Thailand pada 31 Ogos lalu.

Ismaili menambah, APMM turut menjalankan pemantauan ke atas kapal induk negara asing, yang dipercayai bertindak sebagai pusat kutipan ikan yang diperolehi secara haram di perairan negara ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya setakat ini belum dapat mengesan kapal induk tersebut.

“Tangkapan-tangkapan nelayan asing itu adalah hasil usaha gigih APMM Wilayah Sarawak untuk membanteras serta menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini yang diberi perhatian serius oleh Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

Dalam operasi tersebut, APMM Wilayah Sarawak telah meminjam dua kapal iaitu KM Marlin dan KM Satria dari pangkalan di Lumut serta sebuah pesawat jenis Bombardier dari Lapangan Terbang Subang bagi menambah jumlah logistik sedia ada.

Secara keseluruhan, operasi itu menggunakan sebanyak lapan kapal dan membabitkan 140 anggota.

Komuniti-komuniti maritim lain turut diharap membantu dengan melaporkan sebarang aktiviti pencerobohan nelayan asing secara terus ke talian hotline Pusat Operasi APMM Wilsar 082-432544.

APMM turut merampas rokok dan bir tiruan bernilai RM30,000 di Lawas pada minggu lepas.

Sejak Januari lalu, APMM mencatat 60 kes setakat ini, dan mengumpul kompaun bernilai RM24,800, tangkapan ikan (RM26,012) dan nilai minyak disita (RM10,780).