Anjur lebih banyak aktiviti berunsur kesihatan

Oleh Sudan Ajang//

LEPAS: Lee melakukan simbolik pelepasan peserta larian anjuran Curtin
Running Club di Miri semalam.

LEPAS: Lee melakukan simbolik pelepasan peserta larian anjuran Curtin Running Club di Miri semalam.

MIRI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalak menganjurkan lebih banyak aktiviti berunsur kesihatan untuk membantu kerajaan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata satu pertiga daripada rakyat Malaysia dikenal pasti mengalami masalah obesiti dan jumlah ini dijangka meningkat sekiranya tiada kesedaran menjaga kesihatan.

Beliau berkata, antara aktiviti yang semakin popular ialah acara larian dan maraton melibatkan semua masyarakat tanpa mengira umur.

“Saya dapati acara larian semakin diterima oleh masyarakat dan ramai yang mengambil bahagian setiap kali acara itu diadakan di sini.

“Saya berharap persatuan dan NGO dapat mengadakan acara seumpama ini seterusnya menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan peserta,” katanya pada majlis pelepasan larian anjuran Curtin Running Club di sini semalam.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada orang awam, kakitangan dan pelajar Curtin University Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) mengambil bahagian dalam kategori terbuka 10 kilometer dan kategori ria tiga kilometer bermula jam 6.30 pagi.

Lee menambah, kerajaan sentiasa menyokong penganjuran aktiviti khususnya yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha pengelola menganjurkan aktiviti tersebut yang julung kali diadakan di sini.

“Saya berharap Curtin Running Club dapat memperhebat promosi pada masa akan datang untuk menggalakkan lebih ramai peserta menyerta aktiviti dianjurkan,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/02/anjur-lebih-banyak-aktiviti-berunsur-kesihatan/