Anjur aktiviti tingkat kreativiti, kemahiran pelajar

Oleh Connie Sylvia Mesa//

MIRI: Penglibatan pelajar menganjurkan aktiviti sekolah bukan sahaja mampu meningkatkan daya kreativiti tetapi secara langsung menyediakan landasan mempelajari kemahiran mengendali acara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, melalui pendedahan sedemikian juga pelajar dapat bekerjasama secara berpasukan selain saling berkongsi pendapat serta kreativiti masing-masing.

“Selain pembelajaran dalam kelas, penganjuran aktiviti luar kelas juga penting untuk mereka meningkatkan kemahiran berfikir dalam menganjurkan sesuatu acara,” katanya.

Ting berkata demikian pada Majlis Perasmian Konsert Tahunan SMK St Columba 2016 yang bertemakan ‘The Hidden Treasure’ di Dewan Suara Miri malam Rabu lalu.

Turut hadir Timbalan Residen Miri Abdul Aziz Yusuf, Penolong Bishop of the Diocese of Kuching & Brunei Darussalam The Right Rev. Solomon Cheong, Pengetua SMK St Columbia Meechang Tuie dan dif-dif kehormat yang lain.

Menurut Ting, aktiviti itu juga menjadikan pelajar berdisiplin kerana perlu memberi komitmen dan usaha.

“Difahamkan pelajar mengorbankan masa dan tenaga melalui sesi latihan, mengumpul dana serta pelbagai cabaran lain selain menghadiri kelas di sekolah.

“Tahniah atas usaha yang dijalankan itu,” ujarnya.

Tambah Ting, ibu bapa turut memainkan peranan penting memberi sokongan serta penglibatan dalam aktiviti anak-anak mereka.

“Dalam kita membantu meningkatkan kerjasama pelajar, ibu bapa berperanan memberi sokongan kepada anak kerana ibu bapa harus memberi semangat kepada mereka untuk melaksana sesuatu perkara,” katanya.

Terdahulu, Meechang dalam ucapan aluannya memberitahu, konsert tahunan terbabit bertujuan membuka ruang dan peluang kepada pelajar mengendali sesuatu acara selain menunjukkan bakat terpendam masing-masing.

Justeru katanya, selain ibu bapa dan warga sekolah, sokongan daripada masyarakat setempat khususnya bekas pelajar sekolah berkenaan juga penting untuk terus menganjurkan konsert sedemikian.

“Ini sebagai landasan mereka mendapatkan pengalaman melalui konsert dianjur selain mendapatkan pendidikan dalam kelas.

“Justeru, sokongan daripada masyarakat khasnya bekas pelajar amat penting dalam menganjurkan aktiviti sebegini bagi membantu menyumbang sesuatu kepada sekolah,” katanya.

Konsert diadakan selama dua hari terbabit diselitkan dengan pelbagai persembahan seperti lakonan, nyanyian dan tarian.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/28/anjur-aktiviti-tingkat-kreativiti-kemahiran-pelajar/