Anjur aktiviti rancak ekonomi, pelancongan: Lee

GUNA
SEBAIKNYA: Lee (tiga kiri) menyampaikan geran kepada Law Poh Kiong wakil
Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba Zon Miri, semalam.

GUNA SEBAIKNYA: Lee (tiga kiri) menyampaikan geran kepada Law Poh Kiong wakil Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba Zon Miri, semalam.

Peruntukan MRP disedia k’jaan harus diguna untuk membawa manfaat kepada penduduk tempatan

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di sini diingat agar menggunakan peruntukan itu untuk menganjurkan aktiviti yang boleh merancakkan ekonomi dan menarik kedatangan pelancong luar.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan, Datuk Lee Kim Shin berkata peruntukan kerajaan itu boleh diguna untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh merancakkan sektor pelancongan.

“Apabila kita mempunyai aktiviti yang boleh menarik kedatangan pelawat luar, mereka akan datang ke sini, menyewa teksi, menginap di hotel, makan dan minum di sini, sekali gus merancakkan pelancongan,” katanya di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Pelancongan berkata, pihaknya sendiri telah mengadakan pelbagai inisiatif untuk mempromosikan industri pelancongan termasuk menerusi perfileman di kawasan pelancongan popular di Miri.

“Kita baru-baru ini menarik industri pelancongan dari China untuk produksi perfileman di Pantai Tusan dan ia sekali gus akan memperkenalkan Miri di mata dunia, bahkan merancakkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, peruntukan MRP yang diberikan kerajaan itu perlu digunakan sebaiknya dengan menganjurkan aktiviti yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, tetapi menarik minat pelawat luar.

“Kerajaan menyalurkan bantuan ini supaya persatuan atau pertubuhan dapat menganjurkan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat dan ia tidak harus disalah guna,” katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senadin itu turut memberitahu MRP adalah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk dikongsi bersama bukannya hak individu.

“Kita tidak mahu apabila peruntukan ini telah disalurkan kepada mereka, tiada laporan sebarang aktiviti atau projek kecil yang dilaksanakan meskipun wang telah disalurkan untuk tujuan berkenaan,” jelasnya.

Justeru, penerima MRP ini katanya harus merancang dan melaksanakan projek kecil bagi memastikan wang yang disalurkan kerajaan itu benar-benar dimanfaatkan untuk rakyat.

Sejumlah RM317,500 peruntukan MRP telah diserahkan kepada pelbagai persatuan, masjid dan surau, badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini semalam.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/10/anjur-aktiviti-rancak-ekonomi-pelancongan-lee/