Anggota polis diberi amaran jangan muat naik isu PRN

C_PC0013027MIRI: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar memberi amaran keras kepada semua anggota polis seluruh negeri agar tidak mengeluar atau memuat naik sebarang kenyataan di laman sosial kerana bimbang ia akan disalah erti sebagai menyokong atau melawan mana-mana parti politik.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat calon PKR Telang Usan, Roland Engan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi WhatsApp yang didakwa Roland sebagai memalu dan mencemarkan imejnya.

Roland telah membuat laporan polis berhubung perkara itu malam kelmarin, justeru menurut Dev, polis telah membuka kertas soal siasat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku di antara kedua-dua pihak terbabit.

“Semua anggota dan pegawai polis tahu bahawa mereka tidak boleh melibatkan diri dalam politik serta harus sentiasa bersikap neutral.

“Mereka juga harus mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau memuat naik pelbagai mesej dalam kapasiti individu yang mana boleh disalahertikan sebagai menyokong atau melawan mana-mana parti politik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Dev, mereka juga harus mengelak diri daripada menyokong apa jua kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial terutama berkaitan isu politik tempatan atau berkongsi maklumat seumpama itu dalam akaun Facebook atau Twitter mereka.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 7 Mei ini, Roland berdepan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN-PBB), Dennis Ngau di kerusi Telang Usan.

Dalam laporannya, Roland mendakwa gambarnya telah diedit dan ditambah dengan kata-kata cemuhan oleh anggota PGA terbabit yang dianggapnya sebagai mencemarkan imej baiknya dalam tempoh berkempen sekarang.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan terhadap anggota terbabit yang tidak mengendahkan larangan, Dev berkata polis akan menjalankan siasatan kes satu persatu.

“Ini bermakna, kita akan menyiasat terlebih dahulu dan kemudian membuat keputusan sama ada perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan disiplin.

“Sekiranya jelas perbuatannya itu berkaitan kesalahan jenayah, baharulah kita akan mengambil tindakan di bawah undang-undang berkaitan,” katanya sambil memberitahu kemungkinan anggota terbabit juga boleh menjadi mangsa pemilik akaun palsu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/28/anggota-polis-diberi-amaran-jangan-muat-naik-isu-prn/