Anak Sarawak diutama sertai 31 Briged Sempadan

Oleh Jessica Jawing//

INGATAN: Hishammuddin menandatangani poster sebagai tanda ingatan sempena
majlis ramah mesra di TUDM sambil disaksikan Shabre (kiri) dan Zaki (dua
kiri), semalam.

INGATAN: Hishammuddin menandatangani poster sebagai tanda ingatan sempena majlis ramah mesra di TUDM sambil disaksikan Shabre (kiri) dan Zaki (dua kiri), semalam.

KUCHING: Hampir 40 peratus anggota 31 Briged Sempadan yang telah direkrut sehingga kini memberi keutamaan kepada anggota berasal dari Sarawak bagi tujuan memperkasa kawalan keselamatan sempadan negeri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 31 Briged Sempadan di bawah Pemerintahan 1 Divisyen itu ditubuh awal tahun ini sebagai salah satu Teras Kementerian iaitu Teras Keselamatan di Sarawak.

“Dalam tempoh lapan bulan penubuhan Briged, kita berjaya merekrut hampir 40 peratus daripada keseluruhan anggota diperlukan bagi melengkapkan lima batalion di bawah naugan Briged INI.

“Anggota dari Sarawak ini mempunyai pengetahuan setempat dan kita percaya ia memberi kelebihan kepada pasukan baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Sri Angkasa Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, semalam.

Tambah Hishammuddin, terbaharu sebanyak 499 anak tempatan Sarawak dipilih menganggotai briged ini dan kini sedang menjalani latihan asas di Kem PLKN Junaco Park di Sibu, dalam memperkasa lagi kemahiran berhadapan cabaan sebenar.

Kata beliau, latihan bermula Jun lalu dijangka tamat Disember ini dan usaha giat dijalankan bagi menambah bilangan anggota benar-benar layak bagi mengisi kekosongan sebanyak 1,000 lagi perjawatan Briged berkenaan.

Jelasnya, 31 Briged Sempadan ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan tempur serta mengimbangi bebanan tugas pasukan infrantri yang sedia ada di Sabah dan Sarawak.

“Bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan 31 Briged Sempadan ini, kementerian melalui Tentera Darat akan membina kem di Bintulu bagi menempatkan Markas 31 Briged Sempadan dan 1 Batalion Rejimen Sempadan.

“Pemilihan lokasi di Bintulu ini bagi membolehkan Briged ini melaksanakan ‘secondary’ task iaitu memantau sasaran penting seperti empangan di Bakun, Murum dan Baleh, yang semuanya terletak di Kapit,” katanya.

Sementara itu berhubung dibawah Teras Kebajikan kementerian khasnya aspek perumahan, Hishammudin berkata, sebanyak 154 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Pakit, Sri Aman dibina serta menyelenggara dan menaiktaraf 66 unit RKAT di kem terbabit.

Ia katanya bagi memberi keselesaan kepada anggota dan ahli keluarga mereka dengan jumlah keseluruhan projek RM88.9 juta.

“Selain itu Kementerian Pertahanan sedang membina 139 unit RKAT di Kem Sri Miri membabitkan kos pembinaan sebanyak RM55 juta dan projek dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

“Sementara sebanyak 114 unit RKAT lagi akan dibina di kem yang sama pada fasa kedua dengan kos RM39 juta. Sehingga kini proses pembinaan berjalan seperti dijadualkan,” katanya.

Hishamuddin turut memberitahu ia merupakan antara isu dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam satu pertemuan, kelmarin (22 September) yang mencakupi soal pertahanan dan keselamatan di Sarawak.

Majlis semalam turut dihadiri Panglima Medan Timur Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Panglima Wilayah Udara 2 Mejar Jeneral Datuk Mohd Shabre Hussein.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/24/anak-sarawak-diutama-sertai-31-briged-sempadan/