Anak Dayak masih ketinggalan dalam pendidikan

Mereka masih perlukan banyak bantuan dalam mendapat prestasi lebih baik dalam pendidikan: Uggah

// Oleh Clare Cinderella //

TAHNIAH: Jabu (empat kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada salah
seorang ahli jawatankuasa exco DAM sambil disaksikan Serawa (empat kanan) di
Miri malam kelmarin.

TAHNIAH: Jabu (empat kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada salah seorang ahli jawatankuasa exco DAM sambil disaksikan Serawa (empat kanan) di Miri malam kelmarin.

MIRI: Anak-anak kaum Dayak masih jauh ketinggalan di belakang berbanding kaum lain seperti Melayu dan Cina.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bukan sahaja di luar bandar malah di bandar anak-anak masyarakat Dayak masih memerlukan banyak bantuan dalam mendapatkan prestasi lebih baik dalam pendidikan.

“Saya melihat ramai keluarga kaum Iban memiliki warisan dan harta pusaka berharga tetapi ‘runtuh’ bersama generasi mereka (seterusnya) kerana tiadanya pendidikan yang baik.

“Dalam dunia moden ini, pendidikan adalah sumber utama bagi pengetahuan dan kemahiran menjadikan pendidikan satu ‘sumber tenaga’ perlu ada untuk semua orang mengambil kesempatan peluang memperolehi pendidikan tinggi,” katanya dalam teks ucapan dibacakan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga penaung Persatuan Dayak Miri (DAM) pada Jamuan Malam Penghargaan dan pelantikan ahli-ahli jawatankuasa baharu DAM.

Uggah mahu masyarakat Dayak fokus dan mencatur strategi dengan baik dalam memartabatkan pendidikan dalam kalangan mereka jika mahu mendapat penghormatan dan penghargaan daripada bangsa lain.

Menurutnya, kerajaan sentiasa bersedia membantu rakyat daripada mana-mana kumpulan atau komuniti tanpa mengira etnik asalkan mereka bersedia dan komited bekerjasama dengan kerajaan memartabatkan pendidikan.

Dalam perkembangan sama, Uggah turut menyeru peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu mengangkat taraf pendidikan kaum Dayak.

“Saya mahu NGO seperti DAM dan lain-lain di negeri ini mempertimbang agenda pendidikan sebagai salah satu komponen penting dalam misi dan visi mereka.

“Ini sejajar dengan hasrat kita mahu melihat lebih ramai pelajar kaum Dayak khususnya dari sekolah-sekolah luar bandar dan mereka daripada golongan berpendapatan rendah berjaya dalam pendidikan dan seterusnya mencapai kecemerlangan akademik,” tambah beliau.

Uggah berkata, pendidikan masyarakat Dayak memainkan peranan amat penting sebagai kunci, tenaga dan harapan masa depan yang amat cerah untuk bangsa Dayak naik dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.

Pada majlis itu, Jabu turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 daripada Uggah untuk dana DAM.

Hadir sama Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan serta Pelancongan Datuk Lee Kim Shin, ADUN Telang Usan Dennis Ngau serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan Presiden DAM Serawa Budol.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/20/anak-dayak-masih-ketinggalan-dalam-pendidikan/